Kilang tanpa lesen ditutup, 10 pekerja asing ditahan
GOMBAK - Sebuah kilang bahan binaan ditutup serta-merta kerana beroperasi tanpa lesen selepas diserbu oleh pihak Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), pada Jumaat.
Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad berkata, operasi pematuhan prosedur operasi (SOP) yang dijalankan oleh kedua-dua pihak tersebut turut menahan 10 orang pekerja asing tanpa izin (PATI) yang didapati tamat tempoh permit kerja.
Menurutnya, operasi tersebut juga disertai oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PTD) Gombak, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) yang membuat pemeriksaan ke atas tiga asrama pekerja di sekitar Villa Putra dan Kuang, di sini.
Bagaimanapun, hasil operasi mendapati ketiga-tiga lokasi tersebut mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ditetapkan.
"Sepanjang PKPD dilaksanakan daripada 5 Julai sehingga Jumaat, MPS menjalankan pemantauan dan pemeriksaan setiap hari di seluruh kawasan pentadbiran perbandaran Selayang iaitu di pasar awam, kilang perindustrian, bengkel kenderaan, kawasan awam, premis perniagaan, penjaja bersama Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Badan Pengurusan (MC).
"Sepanjang pemantauan tersebut, sebanyak 536 premis dan tiga penjaja dilawat dan 132 premis diperiksa.
"MPS turut mengeluarkan sebanyak 34 notis, 12 kompaun dan 23 premis diarahkan untuk ditutup manakala sebanyak 57 amaran lisan diberikan kepada peniaga untuk mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
"MPS akan terus melakukan pemantauan untuk memastikan setiap peraturan dan arahan sepanjang tempoh PKPD dipatuhi," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!