16 wilayah Indonesia diancam kebakaran hutan

Pentadbiran wilayah Riau terpaksa menutup sekolah kerana jerebu makin teruk. - Foto: Antara
Pentadbiran wilayah Riau terpaksa menutup sekolah kerana jerebu makin teruk. - Foto: Antara
A
A
A

JAKARTA - INDONESIA. Kerajaan Indonesia mengisytiharkan 16 wilayah di seluruh negara terdedah kepada kebakaran hutan dan tanah pertanian menjelang fenomena El Nino, pola iklim yang dikaitkan dengan pemanasan air di kawasan tengah dan timur Lautan Pasifik.

Keadaan cuaca seperti itu diketahui mencetuskan musim panas yang panjang di negara itu yang meningkatkan risiko kebakaran hutan.

Pegawai Pejabat Menteri Penyelarasan Politik, Undang-undang dan Hal Ehwal Keselamatan, Bambang Sugeng berkata, pengisytiharan kecemasan terhadap beberapa kawasan yang terdedah kepada kebakaran hutan telah dilakukan sebagai amaran supaya wilayah terlibat sentiasa berwaspada.

"Sumatera Selatan, Jambi, Aceh dan Riau paling diutamakan," katanya merujuk kepada wilayah yang mempunyai kawasan tanah gambut yang luas dan mudah terbakar ketika musim kering.

Selain itu, empat wilayah, Bengkulu, Nusa Tenggara Timur, Papua dan Papua Barat telah dimasukkan dalam senarai kawasan terdedah sejak ia mencatatkan kebakaran hutan sepanjang tahun lalu.

Riau menjadi salah satu wilayah pertama yang bertindak balas terhadap isu tersebut selepas pentadbirannya mengisytiharkan status kecemasan yang berkuatkuasa bermula 19 Februari lalu hingga 31 Oktober depan.

Jerebu yang terhasil daripada kebakaran itu memaksa pentadbiran wilayah itu menutup sekolah, mengedarkan topeng muka percuma dan menasihatkan pelajar supaya tidak melakukan aktiviti luar.

Sementara itu, Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan, Siti Nurbaya Bakar memaklumkan kebakaran di Riau adalah perkara biasa kerana jumlah titik panas yang banyak sering diksesan pada akhir Februari.

Artikel Berkaitan:

"Kami bertindak segera memadamkannya apabila mengesan titik panas tersebut. Ia adalah konsep pencegahan kami," ujarnya yang berharap bencana jerebu teruk pada 2015 tidak lagi berulang pada kali ini.

Kira-kira empat tahun lalu, Sumatera dan Kalimantan berdepan kebakaran terbesar meliputi lebih sejuta hektar hutan yang turut meragut puluhan nyawa selain memberi impak kepada negara jiran termasuk Malaysia. - Jakarta Post

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!