Misteri pembunuhan Presiden Haiti

Gambar fail menunjukkan Presiden Haiti yang mati ditembak pada Rabu lalu iaitu Jovenel Moise dan isterinya, Martine. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan Presiden Haiti yang mati ditembak pada Rabu lalu iaitu Jovenel Moise dan isterinya, Martine. - Foto AFP
A
A
A

PADA awal Rabu lalu, kira-kira jam 1 pagi waktu tempatan, sekumpulan lelaki menyerang dan menembak mati Presiden Haiti, Jovenel Moise di rumah rasminya yang dikawal oleh pasukan keselamatan di ibu kota Port-au-Prince.

Dalam kejadian itu, isteri Moise, Martine cedera parah dan beliau dikejarkan ke sebuah hospital tempatan sebelum dipindahkan ke pusat perubatan di Miami, Amerika Syarikat (AS) dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Menurut pihak berkuasa, Moise ditemui terbaring dan terdapat 13 das tembakan pada tubuhnya manakala sebelah matanya dicungkil dalam pembunuhan yang mengejutkan penduduk Haiti.

Dalam satu video yang disiarkan selepas kejadian tembakan itu, terdapat beberapa lelaki yang memakai pakaian berwarna hitam berpura-pura menyamar sebagai ejen dadah AS dan menjerit bahawa agensi Pentadbiran Penguat Kuasa Dadah Amerika sedang melakukan operasi.

Pejabat Presiden dan bilik tidurnya digeledah manakala dua anak pasangan itu dilaporkan berada di dalam keadaan selamat dengan seorang anak lelakinya bersembunyi di dalam sebuah bilik tidur manakala pekerja-pekerja di rumah berkenaan diikat oleh para penyerang.

Pasukan keselamatan negara itu kemudian bertempur dengan para penyerang di Pejabat Perwakilan selepas salah seorang pegawai keselamatan di pejabat tersebut mengubungi polis setelah mendapati terdapat beberapa lelaki menceroboh masuk.

Polis kemudian bertempur dengan mereka di Pejabat Perwakilan Taiwan yang menyebabkan 11 orang daripada penyerang tersebut berjaya ditangkap manakala tiga lagi penyerang tersebut berjaya ditembak mati oleh polis.

Selepas tangkapan itu dibuat, akhirnya polis mengetahui sebanyak 28 orang terlibat dalam skuad membunuh Presiden tersebut yang terdiri daripada 26 warga Columbia dan dua rakyat AS berketurunan Haiti.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, lapan orang anggota skuad pembunuh itu masih bebas.

Beberapa anggota polis dan forensik mecari bukti-bukti tentang kejadian pembunuhan Presiden Haiti, Jovenel Moise di luar kediaman rasminya di Port-au-Prince pada 7 Julai lalu. - Foto AFP
Beberapa anggota polis dan forensik mecari bukti-bukti tentang kejadian pembunuhan Presiden Haiti, Jovenel Moise di luar kediaman rasminya di Port-au-Prince pada 7 Julai lalu. - Foto AFP

Pihak Pejabat Perwakilan Taiwan mengesahkan 11 suspek penyerang itu ditangkap di bangunan perwakilannya selepas mereka bertindak menceroboh masuk ke dalam kawasan pekarangan pejabat tersebut.

Susulan penangkapan 26 warga Columbia itu, Menteri Pertahanan negara itu, Diego Molano memberitahu bahawa sekurang-kurangnya enam rakyat negaranya yang merupakan anggota skuad penyerang tersebut ialah bekas anggota tentera.

Beliau juga dilaporkan berkata, polis dan tentera Columbia sedang bekerjasama dengan para penyiasat Haiti dalam kejadian tersebut.

Jabatan Negara AS pula masih tidak mengesahkan tentang tangkapan dua rakyatnya oleh pihak berkuasa Haiti itu tetapi memberikan petunjuk bahawa Washington akan bekerjasama dengan negara tersebut dalam siasatan pembunuhan Presiden negara berkenaan.

Polis kini sedang memburu perancang utama pembunuhan itu manakala Duta Haiti ke Washington, Bocchit Edmond mendedahkan bahawa pembunuh profesional itu dirancang dengan baik.

Apakah motif pembunuhan Presiden itu?

Setakat ini motif sebenar yang menyebabkan Moise dibunuh masih tidak diketahui tetapi Perdana Menteri sementara negara itu, Claude Joseph memberitahu BBC bahawa Presiden berusia 53 tahun itu mungkin menjadi sasaran pembunuhan kerana beliau berusaha menghapuskan rasuah di negaranya.

Ketika mula menjadi Presiden pada Februari 2017, Moise berjanji untuk memerangi rasuah, memperkukuhkan institusi kerajaan dan membawa lebih banyak pekerjaan di negara di Caribbean yang miskin itu.

Namun, semasa pentadbirannya, kejadian-kejadian penculikan keganasan kumpulan-kumpulan jenayah dan krisis politik berlaku dan selepas memegang jawatan Presiden pada tahun 2017, Senat Haiti mengeluarkan satu laporan menuduh beliau menyalahgunakan sekurang-kurangnya AS$700,000 (RM2.9 juta) dana pembangunan infranstruktur untuk tujuan perniagaan pisangnya.

Sebelum menjadi Presiden, Moise ialah seorang ahli perniagaan dan telah dipilih oleh bekas Presiden Haiti, Michel Martelly sebagai calon parti pemerintah Tet Kale untuk menjadi calon dalam Pilihan Raya Presiden 2015 tetapi kemenangannya dibatalkan kerana berlaku penipuan dalam pilihan raya tersebut.

Beliau kemudian dipilih semula menjadi calon dan menang semula dalam Pilihan Raya Presiden pada November 2016 tetapi jumlah pengundi yang mengundi amat rendah.

Itu bukan kali pertama Presiden negara itu dibunuh kerana beberapa orang pemegang jawatan tersebut pernah menerima nasib yang sama dan sebelum ini iaitu pada tahun 1915, Presiden Haiti, Jean Vilbrun Guillaume Sam turut meninggal dunia kerana dibunuh. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!