Cabaran mahasiswa kreatif
BIASANYA masyarakat fikir bahawa daya kreativiti hanya sekadar bakat semula jadi. Seseorang itu kreatif kerana dia lahir kreatif. Kalau tak lahir kreatif, maka dia tidak akan jadi kreatif.
Alasan yang paling mudah bagi seseorang mahasiswa untuk terus malas ialah dia menyalahkan fitrah semula jadi. Alasan ini sebenarnya hampir-hampir menjadikannya syirik kerana bila dia berkata, “Saya bodoh kerana saya memang dilahirkan bodoh,” dia salahkan Tuhan.
Mahasiswa ini sebenarnya secara tidak langsung menghina ciptaan ALLAH SWT. Dia tidak menyalahkan dirinya tapi dia menyalahkan Tuhan yang tidak mengurniakannya bakat semula jadi yang kreatif.
Dari segi lain, mahasiswa ini sebenarnya sangat ego dan sombong. Dia rasa dirinya begitu sempurna sehingga dia hanya nampak kekurangan ciptaan ALLAH dan tidak kekurangan usaha dirinya.
Sifat ego yang menghalang kreativiti ini bermula dengan iblis. Iblis tidak sujud pada Nabi Adam kerana dia tidak nampak hikmah sujud pada Adam. Dia dibutakan oleh ego dirinya. Dia rasa dirinya sempurna, maka tidak ada sebab mengapa kena sujud pada Adam.
Berdasarkan penelitian di atas, cabaran kreatif bagi mahasiswa ialah menerima kritikan terhadap kekurangan dirinya. Memang sangat pedih bila kekurangan diri didedahkan.
Biasanya bila terserempak bekas pelajar saya di kampus, antara soalan-soalan yang biasa saya tanya ialah “Apakah buku ilmiah yang paling menginspirasikan anda dalam bidang anda?”
Jangan terkejut bila saya kata bahawa respons mahasiswa biasanya ialah, “Saya baca banyak buku!” Jelas respons ini adalah sifat ingin memberi gambaran positif tentang kehebatan dirinya yang membaca “banyak”, bukan sedikit buku.
Pelajar ini tidak bohong sebenarnya. Memang pelajar diwajibkan untuk membaca banyak buku demi untuk siapkan tugasan dan peperiksaan. Maka bila saya tanya pelajar apa buku yang paling menginspirasikannya, pelajar yang terbeban dengan budaya exam-oriented ini pun memberi respons yang bersifat exam-oriented juga iaitu baca banyak buku. Yang penting bagi mindset exam oriented ialah kuantiti buku, bukan kualiti.
Soalan seterusnya yang saya akan tanya pelajar selepas beliau memberi respons tentang betapa banyak buku dia baca ialah, “Boleh rekomen satu tajuk buku yang paling berinspirasi?” Ada pelajar yang terus sembunyikan kemalasannya dengan berkata, “Saya baca banyak buku. Maka saya tak ingat tajuk buku!”
Ada yang berkata, “Saya baca buku-buku rujukan sahaja yang dicadangkan oleh pensyarah-pensyarah.” Tak dinafikan ada yang sebut tajuk buku tapi tak ingat nama pengarangnya. Yang pelik bin ajaib ialah bagaimana tak ingat tajuk buku dan pengarangnya bila buku itu paling berinspirasi baginya?
Tambah pelik ialah bila ditanya pasal lagu-lagu kegemarannya, majoriti pelajar akan ingat nama lagu dan nama penyanyinya. Bahkan ada yang boleh syarah tentang latar belakang penyanyi termasuk apa makanan kesukaannya! Tapi berapakah mahasiswa yang tahu latar belakang profesor yang menulis buku bacaannya!
Budaya pemikiran kreatif bermula bila mahasiswa menyahut cabaran budaya membaca. Usah bercakap besar pasal universiti berautonomi, Malaysia Baharu, revolusi seni, anti-Icerd kalau malas membaca. Membaca adalah ayat pertama al-Quran diturunkan.
Membaca adalah asas pertama tamadun. Membaca adalah roh kreativiti. Dr Maszlee Malik telah melancarkan KEMPEN MEMBACA seluas yang mungkin. Yang hairannya media tidak tularkan usaha serius Dr Maszlee dalam membudayakan sifat membaca.
Mungkin membaca merupakan aktiviti yang membosankan kerana ia bersifat pasif. Inilah masalahnya bila minda kita melihat membaca sekadar aktiviti exam oriented.
Kita perlu melihat membaca sebagai aktiviti mengkritik diri kita. Bacalah juga buku-buku yang berbeza mazhab, beza ideologi, beza pandangan daripada pandangan kita. Bacalah buku-buku yang mencabar kita untuk berfikir kritis tentang bagaimana membalas balik hujah-hujah yang diberi dalam buku. Kita seolah-olah sedang berdebat dengan buku!
Kreativiti bermula bila kita sujud pada kebenaran dan bukan pada ego kita. Jangan takut bermusafir dari satu buku ke buku lain kerana buku adalah umpama satu negara, satu dunia. Makin tinggi kualiti buku yang kita baca, maka tinggi tahap kreativiti kita.
* Abdul Naser Tun Rahman Tokoh Pendakwah Perak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!