Menjauhi orang ‘bodoh’

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SECARA zahirnya, apabila membicarakan kelompok yang bijak dan bodoh, sudah tentu perhitungan akal menjadi pemisahnya. Bagi yang bodoh, dianggap tidak cerdik kerana tahap capaian akalnya adalah rendah dan tidak matang berbanding dengan orang yang bijak.

Kelompok yang bijak pula menjadi teras kebergantungan manusia kerana dapat merungkai dan menyelesaikan banyak perkara kerana panjangnya akal mereka.

Pun begitu, pada hari ini, semakin ramai yang ‘dibodohkan’ oleh orang yang bijak. Justeru, mereka yang sebetulnya bijak telah dikaburi oleh orang yang ‘bodoh’ mengaku bijak.

Berkaitan dengan kelompok yang bijak dan bodoh, saya amat bersetuju dengan pandangan Mohamad Safa, seorang aktivis kemanusiaan dan alam sekitar di Lebanon bahawa: “Dunia ini tidak dipisahkan mengikut bangsa, warna kulit, jantina atau agama, sebaliknya dunia ini dipisahkan oleh dua golongan iaitu yang bijak dan bodoh. Mereka yang bodoh telah memisahkan dunia ini kepada bangsa, warna kulit, jantina dan agama.”

Ini bermakna, kelompok yang begitu teruja mencetuskan ketegangan kaum, agama, membezakan manusia mengikut darjat serta mendiskriminasikan jantina adalah ‘bodoh’ sebenarnya.

Sebetulnya, kita telah lama dibodohkan oleh mereka yang ‘bodoh’. Kenapa begitu? Selagi kita terjebak dengan sentimen dan propaganda mereka, selagi itulah kita diperbodohkan. Lihat dan renungkanlah apa yang telah berlaku sekarang?

Apa jua isu walaupun menyalahi undang-undang, etika kehidupan serta latar sosial masyarakat semuanya ditegakkan atas dasar mendokong kelompok mereka.

Pendek kata, menyiram minyak di atas bara sudah menjadi kelaziman di negara kita yang tercinta. Jika tidak ditangani, sampai bila pun kita akan diperbodohkan oleh sang ‘bodoh’.

Artikel Berkaitan:

Pada hemat saya, gelagat orang ‘bodoh’ itu akan berkurangan jika kita tidak menyokong apa jua sentimen yang dimarakkan oleh mereka.

Ingatlah, kita hanya boleh bersatu di atas paksi kebenaran tanpa adanya pilih kasih dan sentimen. Cukuplah menanam kebencian dalam diri dan mencampakkannya dalam masyarakat. Apa yang penting, kita dan masyarakat perlu dididik supaya tidak disambar oleh mereka yang berkepentingan.

Menurut perspektif islam, mereka yang ‘bodoh’ adalah kelompok yang tiada ilmu dan kemahiran namun berlagak pandai menerusi bicara manisnya.

Menurut Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan dan tipu daya, kata-kata pendusta dibenarkan (dipercayai) dan didustakan percakapan orang yang benar, diberi amanah kepada pengkhianat dan dikhianati orang-orang yang amanah. Kemudian akan berkata-katalah golongan al-Ruwaibhidhah. Baginda SAW ditanya: Siapakah golongan al-Ruwaibhidah? maka baginda SAW menjawab: Orang yang bodoh lagi fasik berbicara (mengurus) berkaitan perkara umum yang besar”. (Hadis Riwayat Ibn Majah).

Adalah jelas kita perlu berhati-hati dengan zaman yang penuh dengan tipu daya di mana kebenaran dan amanah sudah terletak pada orang-orang bodoh lagi fasik.

Golongan ini tidak berilmu tetapi bercakap perkara yang besar dan penting. Sampai bila kita harus tertipu? Sesungguhnya, perangai yang ‘bodoh’ amat sukar diubati jika tidak berusaha mengubati.

Bagi Pak Hamka, menerusi bukunya Akhlaqul Karimah, “Ular hanya menyakiti badan kasar dan sakitnya bisa diubati. Padahal budi yang rendah amat berbahaya kepada batin sendiri, menggigit, dan menghalangi kemajuan. Budi yang rendah adalah penyakit yang tidak mahu sembuh walaupun badan kasar telah mati. Pokok semua itu ialah dari lemahnya iman.”

Maka, cukuplah kita benarkan diri kita dibodohkan oleh orang ‘bodoh’.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!