Suami, isteri OKU hilang pendapatan jual kerepek

Noryati mahir mengait kopiah, penyambung pelitup muka dan produk kait lain.
Noryati mahir mengait kopiah, penyambung pelitup muka dan produk kait lain.
A
A
A

POKOK SENA - Sepasang suami isteri orang kurang upaya (OKU) dari Kampung Hutan Gelam, mukim Tualang di sini, kehilangan punca pendapatan apabila tidak dapat berniaga seperti biasa sejak tahun lepas.

Muhammad Hisham Omar, 52, berkata, dia dan isteri, Noryati Baharum,49, sebelum ini mencari rezeki dengan menjual kerepek di hadapan sebuah bank di Jalan Sultanah, di sini.

Katanya, mereka berdua berulang alik menaiki kenderaan roda tiga untuk menyara kehidupan dengan menjual kerepek setiap hari.

"Kami mampu meneruskan hidup dengan pendapatan bersih sekitar RM30 hingga RM50 sehari sebelum Covid-19 melanda negara.

"Pendapatan kami terjejas teruk apabila tiada pelanggan ketika ini sehingga terpaksa bergantung sepenuhnya kepada wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Lebih menyedihkan katanya, mereka telah membelanjakan lebih RM500 sebagai modal ketika Ramadan lalu tetapi mengalami kerugian besar akibat tidak dapat berniaga.

"Kami beli kerepek dan bayar sewa tapak namun tidak dapat berniaga, akhirnya kerepek tersebut diletakkan dalam bilik sebelum disedekahkan kepada rakan-rakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nordiani (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas kepada Noryati dan Muhammad Hisham di Kampung Hutan Gelam.
Nordiani (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas kepada Noryati dan Muhammad Hisham di Kampung Hutan Gelam.

Hisyam berkata, mujurnya mereka dapat menumpang teduh di rumah ihsan Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui projek Baiti Jannati pada 2018 atas tanah saudaranya.

Menurut Muhammad Hisham, dia yang merupakan OKU fizikal dan isteri mengalami masalah penglihatan bagaimanapun tidak berputus asa dan tetap berusaha mencari wang sendiri walaupun berdepan dugaan sedemikian.

"Isteri ada mengambil upah mengait beberapa produk seperti penyambung pelitup muka, kopiah, alas meja dan sarung bekas air untuk menyara hidup," katanya.

Bagaimanapun tambahnya, tiada yang membeli produk isterinya mungkin kerana terjejas malah ada yang membuat tempahan kopiah tetapi tidak dapat mengambilnya apabila siap.

Nasib pasangan berkenaan mendapat perhatian Pertubuhan Cahaya Chenta yang turun padang menyalurkan sumbangan kepada mereka.

Pengerusinya, Nordiani Abd Rahman berkata, pihak menziarahi pasangan berkenaan minggu lepas selepas menerima makluman berhubung keadaan mereka.

Menurutnya Nordiani, pihaknya tampil menyalurkan bantuan apabila dimaklumkan pasangan suami isteri itu tidak boleh mencari rezeki dan pendapatan terjejas sejak beberapa bulan lepas.

"Kami menyampaikan wang tunai dan barangan keperluan dapur hasil sumbangan beberapa pihak seperti Cahaya Chenta Enterprise, Hadi Aktivis, Telekung Kalista, Ryna Rich, Pertubuhan Ukhwah Sejagat Malaysia dan Ellys Kitchen demi meringankan beban mereka,"katanya.

Katanya, pihaknya turut menyalurkan sumbangan kepada beberapa keluarga memerlukan lain khususnya OKU sekitar daerah Kota Setar yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh melakukannya dengan menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0212241000055448 atas nama Noryati Baharum.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!