Dipecat kerana tipu cuti sakit untuk tonton Euro 2020
LONDON - Seorang wanita, Nina Farooqi dipecat selepas dia berbohong menyatakan dia sakit sedangkan wajahnya meraikan jaringan gol pertama England ketika menentang Denmark disiarkan di skrin televisyen pada Rabu lalu.
Pada mulanya Nina, 37, menipu majikannya dengan menyatakan dia sakit dan tidak boleh bekerja bagi membolehkannya menyaksikan perlawanan bola sepak di peringkat separuh akhir itu.
Namun, rakan-rakannya menghantar mesej kepadanya menerusi telefon bimbit bahawa mereka menyaksikan wanita itu muncul pada skrin televisyen ketika perlawanan berlangsung di Stadium Wembley, London.
Justeru, pada keesokan harinya, beliau mendapat panggilan daripada majikannya supaya dia tidak lagi datang ke pejabat untuk bekerja.
Nina yang bekerja sebagai penerbit kandungan digital dilaporkan berkata, dia mendapat tiket menyaksikan perlawanan bola sepak itu menerusi seorang rakannya yang menang dalam cabutan bertuah di pejabatnya.
Pengarah Composite Prime, Charles Taylor berkata, Nina terpaksa dipecat selepas mendapati wanita itu berbohong kepada pihak syarikat yang dianggapnya satu kesalahan kerana melanggar kontrak pekerjaan.
Dalam perlawanan tersebut, England menang 2-1 sekali gus layak ke pertandingan akhir kejohanan bola sepak Eropah atau dikenali sebagai Euro 2020 bagi menentang Itali di stadium yang sama pada Ahad ini. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!