PKPD Seremban: Polis tutup beberapa laluan utama di Nilai
SEREMBAN - Beberapa laluan utama di Nilai yang bersempadan dengan daerah Jelebu, Port Dickson serta Kajang, Selangor ditutup susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah Seremban bermula Jumaat.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai terdiri daripada empat mukim iaitu Labu, Lenggeng, Pantai dan Setul.
“Polis bersama Jawatankuasa Bencana Daerah Seremban bersetuju menutup beberapa laluan utama dengan melakukan sekatan jalan raya (SJR) di sempadan daerah dan negeri serta mempertingkatkan Operasi Patuh (Op Patuh) di kawasan PKPD,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Mohd Fazley berkata, pelaksanaan PKPD bertujuan mengawal pergerakan penduduk di semua mukim terlibat serta mengekang penularan Covid-19.
PKPD di seluruh Seremban bermula Jumaat hingga 22 Julai. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!