Sedekah sembunyi atau uar-uar?

A
A
A

PERKATAAN sedekah berasal daripada bahasa Arab, shadaqoh, yang bermaksud suatu pemberian yang diberikan oleh seorang Muslim kepada orang lain secara spontan dan sukarela. Ia pemberian yang diberikan seseorang sebagai kebajikan dengan niat untuk mendapat reda dan pahala daripada ALLAH SWT.

ALLAH SWT berfirman, “Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya antara hamba-Nya, dan Dia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka ALLAH akan menggantikannya; dan Dialah jua sebaik-baik pemberi rezeki.” (Saba’ 34:39).

ALLAH juga menyebut tentang kekesalan manusia sehingga mereka ingin ditangguhkan kematian mereka agar diberi peluang kedua untuk lebih banyak bersedekah seperti ayat berikut:

“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: “Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku jadi daripada orang yang soleh.” (al-Munafiqun 63:10)

Amalan menyampaikan sumbangan dengan penyerahan replika cek sebagai gimik dalam majlis-majlis tertentu sudah menjadi kebiasaan. Sama ada sumbangan individu atau syarikat, ia bertujuan menggalakkan pihak lain mencontohi amalan baik ini. Ia biasanya melibatkan sumbangan untuk mereka yang ditimpa musibah besar seperti kebakaran, kemalangan, bencana alam mahupun penyakit kritikal atau kronik.

Mereka yang memulakan amalan baik ini yang diikuti pula oleh pihak lain akan mendapat pahala yang melimpah-ruah sebagaimana disebut dalam hadis bernombor 1893 Riwayat Muslim, “Daripada Abu Mas’ud ‘Uqbah bin Amriy Al-Anshori Al-Badriy, beliau berkata Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang dapat menunjukkan suatu kebaikan (kemudian diikuti dan dilakukan kebaikan tersebut oleh seseorang yang lain) maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang melakukannya.”

Hebatnya mereka yang berada dalam golongan ini. Dengan izin ALLAH SWT, pahala yang berganda akan berterusan mengalir sebagai bekalan di akhirat kelak. Hadis di atas seiring dengan ayat 261 Surah al-Baqarah yang bererti “Perumpamaan orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan ALLAH adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir tumbuh 100 biji. ALLAH melipatgandakan bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan ALLAH Maha Luas lagi Maha Mengetahui”.

Bagaimana pula dengan mereka yang menyampaikan sedekah secara sembunyi dan merahsiakan identiti mereka? Ia bergantung pada niat masing-masing namun terdapat panduan melalui firman ALLAH SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 271 yang bererti, “Jika kamu menampakkan sedekah(mu), maka itu adalah baik sekali. Dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan kepada orang-orang fakir, maka menyembunyikan itu lebih baik bagimu. Dan ALLAH akan menghapuskan dari kamu sebahagian kesalahan-kesalahanmu; dan ALLAH mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Artikel Berkaitan:

Ustaz Ridhwan Abdul Rahman, Pegawai Zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), pernah berkongsi bahawa terdapat ramai dalam kalangan pembayar zakat yang menggunakan nama "Hamba ALLAH” dan ada yang zakatnya berjumlah sehingga RM26,000.

Lazimnya kebimbangan akan timbul perasan riyak (menampakkan amalan bagi tujuan bangga diri) atau sum’ah (memperdengarkan amalan bagi tujuan bangga diri) menjadi sebab mengapa mereka memilih untuk menggunakan nama "Hamba ALLAH” dan bukan nama sebenar ketika memberikan sumbangan.

ALLAH SWT mengingatkan kita melalui firman-Nya dalam Surah al-Baqarah ayat 264 yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti perasaan si penerima, seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riyak kepada manusia dan dia tidak pula beriman kepada ALLAH.”

Oleh itu, sama-samalah kita berwaspada dalam setiap amalan kita. Suburkan amalan bersedekah namun sentiasa jaga hati agar niat kita benar-benar untuk membantu mereka yang memerlukan dengan harapan mendapat reda ALLAH dan keampunan-Nya dan bukannya untuk menunjuk-nunjuk serta mendapat pujian dan pengiktirafan manusia. Pada akhirnya apa yang kita perlukan adalah semoga segala perbuatan dan amalan kita menjadi ibadat yang diterima di sisi ALLAH SWT.

*Johari Yap ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!