Pasukan khas mantapkan kesiapsiagaan tangani Covid-19 di Lembah Klang

Dr Adham Baba
Dr Adham Baba
A
A
A

PUTRAJAYA - Pasukan Bertindak Khas 'Greater Klang Valley' diwujudkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memantapkan tahap kesiapsiagaan sistem kesihatan di Lembah Klang dalam mengurus pandemik Covid-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pasukan khas yang mula beroperasi Khamis lepas dan diketuai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong itu berperanan untuk menangani segera situasi semasa di Selangor dan Kuala Lumpur serta kawasan bersempadan, terutama dalam isu kekurangan katil dan sumber manusia.

"Walaupun dipanggil 'Greater Klang Valley', kita akan masukkan juga kawasan selatan Perak, barat Pahang dan utara Negeri Sembilan dan di situ (di setiap kawasan tersebut) terdapat pusat arahan yang akan menyalurkan maklumat pada pasukan bertindak khas itu,” katanya pada sidang akhbar khas berhubung langkah kesiapsiagaan dan strategi KKM mengurus pandemik di Lembah Klang, di sini pada Sabtu.

Susulan pelantikan Dr Chee Kheong untuk mengetuai pasukan bertindak itu, Dr Adham berkata, peranan beliau dalam Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) akan diganti oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan Dan Sokongan Teknikal) Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim.

Katanya, pasukan bertindak itu akan memastikan kesiapsiagaan semua hospital KKM dan operasi perkhidmatan swasta yang terlibat dalam rawatan Covid-19, bagi mengurus pandemik itu secara holistik dan sebaiknya.

Selain itu, Dr Adham berkata, pasukan itu juga bertanggungjawab dalam membuat persiapan rapi bagi menghadapi tempoh tamat Ordinan Darurat pada 1 Ogos ini.

Ini berikutan KKM ketika ini menggunakan pelbagai fasiliti milik agensi dan kementerian dalam tempoh pelaksanaan ordinan dan apabila tempoh darurat tamat, kemudahan itu perlu dipulangkan kepada pihak terbabit.

Beliau memberi contoh Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia di bawah Kementerian Pengajian Tinggi, yang kini digunakan untuk merawat pesakit Covid-19, perlu kepada rundingan semula supaya hospital itu boleh terus digunakan selepas Ordinan Darurat tamat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Dr Chee Kheong berkata, pasukan itu menumpukan usaha mengekang penularan Covid-19 di kawasan Lembah Klang serta kawasan bersempadan kerana mengambil kira pergerakan orang ramai.

“Berikutan peningkatan kes, terdapat keperluan mendesak untuk memastikan keperluan seperti katil, peralatan, sumber manusia dan yang berkaitan dengan pengurusan kes mencukupi,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!