Maut dihempap tayar lori tercabut
SLIM RIVER - Seorang kelindan lori maut apabila dihempap sebiji tayar yang dipercayai tercabut daripada sebuah lori tangki ketika berhenti di lorong kecemasan di KM372.8 Lebuh Raya Utara - Selatan arah Selatan di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, Abdul Rashid Abdul Rahman, 29, yang berasal dari Teluk Intan, meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menaiki lori bermuatan barangan dapur yang dipandu rakannya berusia 30 tahun dalam perjalanan menghala ke Kuala Lumpur.
Menurutnya, setibanya di lokasi, mereka mengambil keputusan untuk berhenti di lorong kecemasan selepas terdengar satu bunyi dari bahagian belakang kenderaan mereka.
"Mangsa turun dahulu untuk memeriksa keadaan tayar lorinya manakala, pemandu masih berada dalam kenderaan.
"Sebaik sahaja mangsa turun, satu tayar dipercayai milik lori tangki telah tercabut dan bergolek laju melalui penghadang besi jalan lalu menghempap mangsa," katanya.
Wan Kamarul Azran berkata, akibat hentaman itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Slim River untuk bedah siasat.
"Susulan itu, polis telah memperolehi rakaman video 'dashcam' daripada lori yang dinaiki mangsa bagi membantu siasatan.
"Kita turut menghubungi pihak Plus untuk memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi berhampiran sekiranya ada merakam kejadian berkenaan," katanya.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Saksi yang melihat kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!