Akta anti perkauman tanpa ICERD?

A
A
A

KEBELAKANGAN ini kita melihat isu perkauman dan keagamaan sangat rancak dimainkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Disebabkan itu, isu mengenai Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) kembali diungkit oleh pihak-pihak tertentu kononnya, disebabkan kita enggan untuk menandatangani dan meratifikasi ICERD maka sentimen bangsa, budaya dan agama dimainkan dengan menjadi-jadi.

Namun, adakah perlu untuk kita meratifikasi ICERD sebelum kita menggubal undang-undang berkaitan anti-perkauman dan anti-agama di negara ini? Tidak bolehkah kita menggubal undang-undang yang menghalang mana-mana individu daripada menghina atau mempermainkan mana-mana bangsa, agama dan budaya tanpa meratifikasi ICERD? Sejak bila pula kita perlukan konvensyen antarabangsa sebelum boleh kita menggubal sesuatu undang-undang?

Sehingga kini, hanya dua buah negara dari dunia Islam yang belum meratifikasi ICERD iaitu Malaysia dan Brunei. Negara-negara dari dunia Islam yang lain seperti Arab Saudi, Iran, Indonesia, Palestin, Mesir, Pakistan, Iraq dan Turki semuanya telah meratifikasi ICERD. Inilah antara alasan yang digunakan oleh pihak yang menyokong Malaysia meratifikasi ICERD, kononnya tindakan kita tidak meratifikasi ICERD sebagai tidak Islamik.

Jadi, persoalan utama yang bermain di minda adalah, kenapa kita perlukan ICERD sedangkan kita mempunyai ‘acuan’ kita yang tersendiri? Jika benar pihak kerajaan ikhlas mahu menegah isu-isu berkaitan sensitiviti perkauman dan keagamaan ini, mengapa tidak kita mulakan dengan menggubal akta anti-perkauman? Mengapa perlu tunggu untuk meratifikasi ICERD? Hebat sangatkah ‘cengkaman’ ICERD ini sehingga kita perlukan ICERD sebelum kita menggubal akta tersebut di tanah air sendiri?

Walaupun ICERD secara dasarnya membolehkan sesebuah negara yang meratifikasi konvensyen itu untuk membuat pengecualian tertentu agar konvensyen berkenaan tidak melangkaui perlembagaan negara mereka, namun pengecualian ini boleh ditolak sekiranya dua pertiga negara yang menyertai ICERD tidak bersetuju dengan pengecualian ini.

Biarpun sehingga kini penolakan pengecualian ini tidak pernah terjadi kerana sukar untuk mendapatkan bantahan dua per tiga daripada 179 negara, tetapi Finland, Austria dan Jerman pernah cuba untuk membantah pengecualian yang dibuat oleh Arab Saudi (selagi mana peruntukan dalam ICERD tidak bercanggah dengan Islam), namun bantahan itu tidak berjaya kerana tidak cukup sokongan. Sebenarnya, apa guna ICERD ditandatangani? Biarpun ICERD bertujuan untuk mengikat sesebuah negara namun ia dilihat sukar untuk dikuatkuasakan kerana tiada badan penguat kuasa. Sebagai contoh, orang Romani pernah membuat aduan terhadap Slovakia kerana telah mendiskriminasikan mereka.

Walaupun Jawatankuasa Penghapusan Diskriminasi Kaum (ditubuhkan melalui peruntukan dalam ICERD) telah memutuskan bahawa Slovakia telah melanggar peruntukan-peruntukan dalam ICERD, Slovakia masih ‘bebas’ tanpa sebarang tindakan antarabangsa kerana Slovakia mendakwa ICERD tidak mempunyai kesan perundangan (non-binding).

Malah, segala teguran, kritikan dan komen yang dibuat oleh Jawatankuasa tersebut hanya bersifat soft law (undang-undang ringan) dan tidak memberi sebarang impak perundangan. Jadi, apa guna kita meratifikasi ICERD?

Artikel Berkaitan:

Lebih baik kita gubal sebuah undang-undang berkenaan anti-perkauman dan anti-keagamaan mengikut acuan negara kita. Dengan cara ini, tiada krisis antarabangsa yang akan berlaku jika kita gagal untuk mengikuti peruntukan-peruntukan dalam ICERD terutamanya berkenaan isu hak Bumiputera. Selama ini pun, tiada negara yang pernah mendesak kita untuk menandatangani ICERD.

Dengan adanya undang-undang domestik ini, kita masih mampu untuk mengawal isu-isu berkaitan perkauman dan keagamaan. Selepas ini, tiada lagi mana-mana individu yang boleh mengutuk, menghina atau mempermainkan mana-mana agama dan bangsa.

Apa yang lebih penting, akta berkenaan anti-perkauman dan anti-keagamaan hanya bersifat mengawal isu-isu ini daripada terus menjadi-jadi. Namun, undang-undang hanya akan kekal sebagai undang-undang jika tiada elemen pendidikan yang disemaikan dalam sanubari rakyat.

Kita perlu kembali kepada asas keharmonian dan kemanusiaan, iaitu pendidikan. Rakyat sejak kecil perlu didik untuk memahami dan menghormati semua bangsa, budaya dan agama. Rakyat kita perlu difahamkan dengan gaya hidup, budaya dan amalan bangsa-bangsa dan agama-agama lain.

Setelah kita faham, pasti kita tidak akan mudah untuk salah faham tentang bangsa dan agama lain. Sifat hormat-menghormati itu akan lahir dengan sendirinya, asalkan rakyat kita didik dengan sebaiknya.

* Penulis ialah seorang peguam

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!