England perlukan taktikal tepat tundukkan Itali

Gareth Southgate
Gareth Southgate
A
A
A

PENGENDALI England, Gareth Southgate mengakui pasukannya itu memerlukan taktikal yang betul dan tepat sekiranya mahu menewaskan Itali dalam perlawanan akhir Euro di Stadium Wembley pada awal pagi Isnin.

Menurutnya, pasukan Itali pada ketika ini bukanlah pasukan sama seperti beberapa tahun lalu dengan pengurus pasukan Gli Azzurri, Roberto Mancini telah berjaya memodenkan permainan pasukan itu.

"Mereka mempunyai cara bermain, semangat yang hebat, tenaga yang hebat dalam cara mereka bermain.

Namun, apa yang saya lihat gaya permainan pasukan itu mungkin berbeza dengan pasukan Itali ketika saya masih muda - sangat moden.

"Saya telah memerhatikan mereka selama dua tahun kerana saya tahu apa kemampuan yang ada pada Mancini.

Ini pasukan yang luar biasa dan tanpa keraguan, dua pasukan terbaik dalam kejohanan telah mara ke final," katanya.

Dalam masa sama, Southgate turut mengakui cabaran besar yang perlu dihadapi pasukannya itu dalam aksi final tersebut dengan rekod kemenangan 33 kali tanpa kalah Itali menjadikan pasukan itu sebagai antara pilihan juara.

Malah, tekanan tinggi daripada penyokong juga menjadi satu bebanan kepada pasukan dengan harapan menggunung yang mahu melihat The Three Lions menjuarai kejohanan tersebut buat kali pertama dalam sejarah.

Artikel Berkaitan:

"Kami perlu mendapatkan taktikal yang betul kerana walaupun kami mungkin dianggap sedang berada dalam prestasi terbaik, namun, sebagai seorang yang profesional saya tetap merasakan bahawa elemen taktikal perlu diberikan perhatian.

"Kami akan berdepan dengan pasukan yang belum tewas dalam 33 perlawanan. Jika kami tidak dapat taktikal yang betul dan pemilihan pemain yang tepat, kami akan tewas di laman sendiri ini.

"Jika kami tewas, kami tahu penyokong tidak akan gembira.

Mungkin pada waktu ini kami menerima mesej dan sokongan positif daripada peminat.

Tetapi, saya dapat menjangkakan kekecewaan dan kemarahan daripada penyokong jika kami tewas pada Isnin ini.

"Malah, prestasi saya juga mungkin akan dinilai pada perlawanan akhir ini dan bukan sepanjang kejohanan ini berlangsung daripada peringkat kumpulan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!