Kematian kebakaran kilang di Bangladesh meningkat 52 orang
DHAKA - Sekurang-kurangnya 52 orang maut dalam kebakaran yang berlaku di sebuah kilang makanan dan minuman lima tingkat di daerah Narayanganj, Bangladesh pada Jumaat.
Timbalan Pengarah Perkhidmatan Bomba dan Pertahanan Awam, Debashish Bardhan berkata, pihaknya telah menemui 49 mayat dari serpihan kilang berkenaan.
"Empat puluh sembilan mayat, kebanyakan dari mereka tidak dapat dikenali, ditemui dari tingkat 4 bangunan pada hari Jumaat petang," katanya.
Menurutnya, mayat akan dikenal pasti melalui ujian DNA untuk diserahkan kepada ahli keluarga mereka.
ARTIKEL BERKAITAN: Tiga maut dalam kebakaran kilang di Bangladesh
Pihak berkuasa pada awalnya menyatakan, hanya tiga individu maut, namun kemudian menemui timbunan mayat selepas api dipadamkan.
Api dikatakan berpunca dari tingkat bawah bangunan berkenaan dan merebak dengan cepat ke beberapa tingkat atas yang lain kerana adanya bahan kimia dan bahan plastik.
Pasukan mencari dan menyelamat masih berada di tempat kejadian untuk mencari saki-baki mangsa.
Sementara itu, seramai 26 pekerja mengalami kecederaan apabila terpaksa melompat dari tingkat atas kilang untuk menyelamatkan diri.- Xinhua
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!