Malaysia bukan negara gagal: Mustapa

Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed
A
A
A

JELI - Malaysia bukanlah sebuah negara yang gagal dan institusi kerajaan masih lagi kukuh serta berfungsi seperti biasa selepas berdepan krisis pandemik Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, negara yang gagal adalah apabila berdepan pelbagai konflik, huru-hara dan tidak dapat menguruskan pentadbiran dengan baik.

"Ada laporan dari Bloomberg mengatakan Malaysia menuju ke sebuah negara yang gagal. Jika sesebuah negara itu gagal maka akan ada rakyatnya yang kebuluran dan sebagainya. Antara negara yang disifatkan gagal sebelum ini adalah seperti Somalia, Myanmar dan beberapa negara di Amerika Latin.

"Kita sudah melakukan yang terbaik dan institusi kita bergerak, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bergerak, pegawai kerajaan semua bekerja seperti biasa dan semuanya berfungsi.

"Kalau kerajaan gagal, maknanya kita lumpuh, tapi negara kita Malaysia ketika ini Alhamdulilah, pentadbiran awam masih seperti biasa," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Mustapa (tengah) menyampaikan sumbangan kepada penduduk di Kampung Berdang pada Sabtu.
Mustapa (tengah) menyampaikan sumbangan kepada penduduk di Kampung Berdang pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika hadir menyampaikan Bakul Makanan menerusi Pakej-Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) kepada penduduk di Kampung Berdang, Jeli di sini.

Hadir sama, Speaker Kerajaan Negeri, Datuk Abdulllah Ya'kub.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, pelantikan Menteri Kewangan, Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Penyelaras bagi Pelan Pemulihan Negara (PPN) juga membuktikan kerajaan konsisten dalam memulihkan ekonomi negara ketika ini.

Malah katanya, kerajaan mengamalkan sikap yang terbuka menerima teguran mana-mana pihak bagi memastikan negara kembali pulih walaupun dalam tempoh penularan pandemik Covid-19.

"Kita sentiasa buka ruang dan pintu untuk menerima kritikan membina dalam mendepani krisis ketika ini dan melalui pengalaman kita menguruskan Covid-19 ini, banyak pandangan pelbagai pihak yang kita ambil sama ada kerajaan Pusat atau negeri," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pemberian Bakul Makanan berkenaan, beliau berkata, pihaknya akan mengagihkan bantuan berkenaan kepada 6,000 penerima melalui tiga saluran utama iaitu imam masjid, penghulu dan pemimpin masyarakat dalam tempoh seminggu bermula Sabtu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!