Ahli Parlimen UMNO masih terikat keputusan MKT

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

PONTIAN - Ahli-ahli Parlimen UMNO sepatutnya mengundi mengikut keputusan parti seandainya berlaku cubaan undi tidak percaya atau percaya terhadap kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada persidangan Dewan Rakyat bermula 26 Julai ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, mereka masih lagi terikat dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT), disiplin dan etika parti selaras dengan Perlembagaan UMNO meskipun boleh menggunakan budi bicara untuk menyokong atau sebaliknya.

"Ahli- ahli Parlimen UMNO masih lagi terikat kepada keputusan MKT dan etika parti.

Sekarang ini ditimbulkan mengenai ahli Parlimen boleh menggunakan budi bicara jika berlalu pengundian di Dewan Rakyat kelak.

"Begitupun budi bicara itu mesti ada landasan, ahli Parlimen UMNO budi bicaranya mestilah berlandaskan parti UMNO dan tidak mengikuti parti lain," katanya ketika ditemui di Dewan UMNO Pontian selepas meninjau penyediaan Bakul Makanan Wanita UMNO Bahagian Pontian pada Sabtu.

Ahmad (dua dari kiri) meninjau penyediaan bakul makanan Wanita UMNO di Dewan UMNO Pontian pada Sabtu.
Ahmad (dua dari kiri) meninjau penyediaan bakul makanan Wanita UMNO di Dewan UMNO Pontian pada Sabtu.

Mesyuarat MKT UMNO pada Rabu membuat keputusan menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkuat kuasa serta-merta.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, ketetapan tersebut diambil berpandukan tujuh kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Muhyiddin dalam memenuhi aspirasi yang digariskan parti itu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pontian itu menolak dakwaan tindakan penarikan sokongan UMNO itu bermakna memberi peluang kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

"Jika Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul berfikiran begitu dan tidak peduli Perdana Menteri dari parti Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tetapi kami ( UMNO) sangat peduli.

"Ini kerana dalam kerajaan sekarang, UMNO dan Barisan Nasional memiliki majoriti sebagai parti terbesar dengan 43 kerusi.

Bersatu dengan 31 kerusi adalah yang kedua namun 15 kerusi daripadanya asalnya adalah kerusi UMNO,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:Tindakan UMNO beri peluang Anwar jadi PM: Zahidi

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan Datuk Zahidi Zainul Abidin menyifatkan keputusan MKT UMNO menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat tidak berasas selain hanya akan memberi peluang kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dipilih sebagai Perdana Menteri.

Beliau juga mendakwa tidak kisah jika calon Perdana Menteri itu bukan dari UMNO dan akan memberi sokongan jika ia datang dari Bersatu atau Pas kerana berpegang kepada prinsip 'No Anwar No DAP'.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!