PKP: Bapa buntu dua anak tiada telefon bimbit

Moktarudin (kiri) buntu memikirkan dua anaknya yang terpaksa bergilir menggunakan telefon bimbit untuk mengikuti pembelajaran secara dalam talian berikutan pelaksanaan PKP.
Moktarudin (kiri) buntu memikirkan dua anaknya yang terpaksa bergilir menggunakan telefon bimbit untuk mengikuti pembelajaran secara dalam talian berikutan pelaksanaan PKP.
A
A
A

SABAK BERNAM - Seorang penjual ayam proses yang hilang punca pendapatan bulanan buntu kerana tidak mampu menyediakan telefon bimbit untuk dua anaknya bagi mengikuti pembelajaran secara dalam talian berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Moktarudin Yashak, 56, berkata, keadaan itu menyebabkan anaknya, Nur Ain 11, dan Adiknya, Asyraf, 8, tidak dapat mengikuti sepenuhnya pembelajaran secara maya.

Menurutnya, pada masa ini dua beradik itu bergilir-gilir menggunakan telefon bimbit untuk mengikuti pembelajaran.

"Saya memang tidak mampu membeli telefon bimbit baharukerana tiada pendapatan melainkan hanya bergantung kepada bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebanyak RM400 sebulan," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Moktarudin yang menetap di Parit 1 Barat, Sungai Besar berkata, tanggungjawab menjaga dan mendidik tiga anaknya terpaksa digalas sendirian selepas berpisah dengan bekas isteri sejak tiga tahun lalu.

"Saya bimbang memikirkan hal anak-anak apatah lagi tidak boleh ke mana-mana untuk berniaga. Saya juga tidak boleh meninggalkan tiga anak yang masih kecil di rumah dandua daripada mereka perempuan," kata Moktarudin.

Bagaimanapun, Moktarudin bersyukur kerana guru di sekolah memahami kekangan yang dihadapi sepanjang PKP.

"Saya terharu kerana ada guru yang prihatin sanggup membayar yuran persekolahan dua anak saya.

Artikel Berkaitan:

"Saya sedaya upaya berusaha memastikan anak-anak tidak ketinggalan tetapi apa boleh saya lakukan dalam keadaan terdesak seperti ini," ujarnya.

Menurut Moktarudin, sejak PKP juga dia terpaksa memohon bantuan demi kelangsungan hidup mereka sekeluarga.

"Kalau boleh saya tidak mahu memohon bantuan daripada mana-mana pihak tetapi terpaksa atas desakan hidup.

"Saya berharap ada pihak yang sudi bantu menyediakan telefon bimbit untuk anak-anak saya mengikuti pembelajaran di rumah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!