Ketepi soal politik, fokus kebajikan rakyat di Parlimen
KUALA LUMPUR - Persidangan khas Parlimen yang dijadual mulai 26 Julai ini harus memberi tumpuan penuh kepada urusan berkaitan kebajikan rakyat dan bukannya hal politik kepartian yang boleh menggugat kestabilan kerajaan.
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Nasional, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, sebarang tindakan membawa usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya akan mengundang kepada Pilihan Raya Umum (PRU) lebih awal, ketika negara sedang berdepan dengan kes Covid-19 yang semakin membimbangkan.
“Kita semua tahu, kita perlukan PRU, tetapi bukan sekarang...Armada seru semua ahli Parlimen bersabar, bagilah Pelan Pemulihan Negara (PPN) diselesaikan...tolonglah kita selesaikan masalah Covid-19 dahulu...kesian pada rakyat,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan ditemui pemberita di sini pada Sabtu, selepas melawat pemain dram kumpulan Caliph Buskers yang terjejas pendapatan sejak Januari 2020, susulan penularan Covid-19 di negara ini.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan persidangan khas Dewan Rakyat akan diadakan selama lima hari mulai 26 Julai manakala sidang Dewan Negara diadakan selama tiga hari bermula 3 Ogos. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!