Pelaksanaan PPN tunjuk hasil positif: Ronald

Ronald menyiram tanaman halia organik menggunakan botol ketika lawatannya ke Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Beluran.
Ronald menyiram tanaman halia organik menggunakan botol ketika lawatannya ke Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Beluran.
A
A
A

BELURAN - Semua langkah dan usaha kerajaan selaras dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN) supaya negara dapat beralih kepada fasa seterusnya secara teratur dan berperingkat berpaksikan data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama menunjukkan hasil yang positif.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, setakat ini tujuh negeri sudah memenuhi tiga nilai ambang dengan memenuhi semua prasyarat telah beralih ke Fasa 2 PPN termasuk Sabah.

Menurut beliau, melalui langkah bersasar kerajaan termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa negeri termasuk Selangor mencatatkan bilangan kes harian yang tinggi harap dapat dikurangkan.

"Malaysia juga telah memenuhi nilai ambang pertama PPN di mana 10 peratus penduduk di negara ini sudah menerima dua dos lengkap vaksin Covid-19.

"Malah, kadar pemberian vaksin harian juga berjaya mencatatkan lebih 300,000 suntikan melangkaui sasaran awal dan jumlah pemberian vaksin harian tertinggi juga dicatatkan semalam dengan 376,909 dos vaksin telah diberikan di seluruh negara," katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas penyerahan kit tanaman lada bara dan halia organik kepada belia Beluran sempena lawatan kerja di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Beluran.

Beliau yang juga Parlimen Beluran berkata, Malaysia dijangka akan mencapai 30 ke 40 peratus populasi lengkap menerima vaksin pada penghujung Ogos dan imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini seperti yang digariskan di bawah PPN akan dapat dicapai.

Katanya, usaha kerajaan menangani kemelut pandemik Covid-19 perlu dinilai secara holistik dan menyeluruh dengan mengambil kira semua aspek termasuk keselamatan, kesihatan, kebajikan dan ekonomi.

Artikel Berkaitan:

Ronald menyampaikan sijil kepada peserta yang menyertai kursus asas dan bimbingan sempena lawatan kerja di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Beluran.
Ronald menyampaikan sijil kepada peserta yang menyertai kursus asas dan bimbingan sempena lawatan kerja di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Beluran.

"Kerajaan serius dalam soal memelihara kebajikan rakyat serta usaha memerangi pandemik Covid-19 biarpun berhadapan dengan pelbagai cabaran.

"Agenda prihatin dan keselamatan rakyat akan menjadi keutamaan kerajaan dan akan diteruskan. Segala usaha yang dirancang kerajaan berada di landasan yang tepat dan kerajaan yakin dengan kerjasama serta sokongan rakyat kitadapat melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19 sekali gus keluar secepat mungkin dari pandemik ini.

"Tumpuan utama kerajaan hanya untuk terus berusaha sedaya upaya mengeluarkan negara secara berfasa dari kemelut pandemik Covid-19 dan memulihkan semula ekonomi negara demi kelangsungan hidup rakyat," jelasnya.

Dalam pada itu, Ronald berkata, kerajaan juga terus memperkasa keupayaan sistem kesihatan awam negara supaya dapat beroperasi dengan berkesan serta meningkatkan kapasiti bagi mempercepat pemberian vaksin kepada rakyat melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

"Selaras dengan peningkatan kadar pemberian vaksin harian, orang ramai mesti terus berdaftar dan menghadirkan diri di pusat pemberian vaksin (PPV) untuk menerima suntikan vaksin pada tarikh yang telah ditetapkan, ini adalah tanggungjawab semua rakyat Malaysia dalam membantu negara keluar dari pandemik ini.

"Selain itu, sejak pandemik Covid-19 melanda negara kita, kerajaan telah melaksanakan lapan program bantuan dan pakej rangsangan ekonomi dengan nilai keseluruhan berjumlah RM530 bilion dengan suntikan fiskal sebanyak RM81.8 bilion bagi meneruskan agenda membantu rakyat dan menyokong perniagaan

"Selain itu, RM322.5 bilion diperuntukkan di bawah Belanjawan 2021," katanya.

Jelasnya lagi, pelbagai bantuan bersasar di bawah pakej itu telah membantu pengusaha sektor agromakanan yang terkesan terutama mereka yang mengusahakan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk kembali pulih dan meneruskan kelangsungan perusahaan masing-masing.

"Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan terus memastikan setiap inisiatif di bawah pakej ekonomi untuk agromakanan sampai kepada golongan sasar dalam memastikan kelangsungan setiap peringkat rantaian makanan supaya rakyat terus mendapat bekalan makanan yang mencukupi dan berkhasiat.

"Program Skim Pembiayaan Mikrokredit Agrobank juga sedang giat dilaksanakan. Jumlah keseluruhan skim ini adalah sebanyak RM850 juta yang merangkumi peruntukkan sebanyak RM350 di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan RM500 juta di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH)," katanya.

Sehubungan itu, Ronald berkata, usahawan mikro dan komuniti B40 dalam sektor pertanian dan industri makanan yang terjejas akibat daripada pandemik Covid-19 dan PKP digalakkan untuk memohon kemudahan pembiayaan yang disediakan kerajaan di bawah Agrobank.

Ronald menunjukkan kit tanaman lada bara dan halia organik yang diberikan kepada belia Beluran sempena lawatan kerja di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Beluran.
Ronald menunjukkan kit tanaman lada bara dan halia organik yang diberikan kepada belia Beluran sempena lawatan kerja di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Beluran.

"Pada masa sama, selaras dengan pengumuman Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) pada 28 Jun lalu, Agrobank komited untuk membantu pelanggan merancang komitmen pembiayaan mereka menerusi program bantuan pengurusan kewangan, khususnya pelanggan bagi kategori yang berkaitan yang menghadapi kesukaran meneruskan pembayaran semula pembiayaan mereka berikutan penularan wabak Covid-19," katanya.

Sementara itu, mengulas berhubung program yang dihadirnya, Ronald berkata, program itu adalah sebahagian daripada inisiatif Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Sabah melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Beluran dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Persekutuan Sabah (FAMA Negeri Sabah).

"Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada kaedah pertanian mudah melalui tanaman cili dan halia sebagai punca pendapatan tambahan sekali gus menggalakkan lebih ramai golongan belia luar bandar untuk menceburi bidang pertanian," katanya.

Dalam program itu, Ronald telah menyampaikan kit tanaman cili bara dan halia organik kepada 660 belia dari 30 kampung sekitar Beluran dan dilengkapkan dengan kursus asas dan bimbingan.

Hadir sama, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Samad Jambri; Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Sabah, Anita Misuari; Pegawai Daerah Beluran, Nordin Daling dan Pengurus Besar PPK Beluran Sumarang Chunbung.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!