'Perlu ambil masa untuk lihat kesan laksana PKPD di Selangor'
BANGI - Trend peningkatan kes Covid-19 di Selangor dijangka kekal kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa mukim negeri tersebut memerlukan masa untuk melihat kesannya.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kesan daripada pelaksanaan PKPD tidak boleh dikesan dalam masa yang singkat, malah ia hanya boleh dilihat dalam minggu kedua atau ketiga sepanjang tempoh tersebut.
Menurutnya, keputusan untuk menyambung tempoh pelaksanaan PKPD juga tertakluk kepada penilaian Jawatankuasa Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pendapat Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
"Kita sentiasa cuba untuk mengemas kini pandangan berdasarkan keperluan semasa dan seeloknya biar kita habiskan tempoh PKPD ini dahulu dan kita akan lihat kesannya pada minggu ketiga.
"Kalau kita tak sabar menunggu keputusan, kita akan membuat kesilapan kerana ia tidak dibuat berdasarkan situasi sebenar dan perebakan Covid-19 mungkin terus akan meningkat.
"Kita perlu lihat hasil daripada PKPD ini sama ada ia mendatangkan kesan baik atau sebaliknya, dan keputusan untuk menyambung tempoh PKPD akan dibuat berdasarkan perkara tersebut," katanya ketika sidang akhbar selepas melawat kawasan PKPD Pangsapuri Sri Ayu di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Malawati, Shah Alam akan dinaik taraf berikutan kehadiran orang ramai yang semaik meningkat di pusat tersebut.
Ujarnya, perbincangan tentang perkara tersebut sedang dibuat bersama Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Datuk Dr Sha'ari Ngadiman dan sementara itu, orang ramai dinasihatkan untuk pergi ke CAC berhampiran bagi mengurangkan kesesakan di CAC Stadium Malawati, Shah Alam.
"Saya sedang bincang dengan Dr Shaari untuk menambah baik CAC Stadium Malawati, Shah Alam yang kerap dikunjungi.
"Saya berpesan supaya orang ramai tidak berkunjung ke sana secara beramai-ramai, sebaliknya cari CAC yang terdekat dengan daerah terdekat kerana prosedur di semua pusat adalah sama sahaja atau mungkin lebih cepat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!