Pelajar IPT meninggal dunia selepas dilapor tidak sedarkan diri
Kejadian yang menimpa pelajar semester ketiga itu tular di media sosial dan dia dilaporkan tidak sedarkan diri pada jam 4 pagi di rumah sewanya di Merbok sebelum dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani menggunakan ambulans.
Berdasarkan laporan yang dimuat naik di media sosial, mangsa dikatakan mengalami sakit kepala dan sempat mengejutkan rakan serumah sebaik dia terjaga dari tidur pada jam 3 pagi
Mangsa juga dikatakan mengalami muntah dan sawan sebelum tidak sedarkan diri dan dirujuk ke HSAH.
Bagaimanapun imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) yang dilakukan menunjukkan terdapat pendarahan di bahagian otak dan mangsa dilaporkan meninggal dunia pada jam 2.50 petang Jumaat.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Anuar Abd Rahman berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu.
Menurutnya, semakan mendapati, mangsa dimasukkan ke HSAH oleh rakannya dan dilaporkan meninggal dunia pada Jumaat.
Bagaimanapun, tiada sebarang kenyataan media dikeluarkan dari IPT tersebut kerana dikatakan masih menunggu laporan penuh perubatan.
Tular di media sosial dakwaan menyatakan seorang pelajar dari sebuah IPT meninggal dunia akibat stress berikutan perlu menjalani kuliah dalam talian selain bebanan tugasan dan persiapan menghadapi peperiksaan akhir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!