Selangor tumpu industri aeroangkasa
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, Lapangan Terbang Subang (Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah) mewujudkan sebuah sistem ‘eco-aerospace’ dan penerbangan yang sudah berkembang ke beberapa lokasi lain di Selangor.
Menurutnya, ia didorong faktor pertumbuhan organik (keuntungan dihasilkan secara dalaman) termasuk pertumbuhan bukan organik (pengambil alihan penggabungan atau pelaburan) yang membantu perkembangan industri terbabit.
“Gabungan pertumbuhan organik dan bukan organik ini secara strategik dapat menyumbang kepada impak hasil yang lebih tinggi bagi industri, selain memberi pulangan kepada kerajaan negeri,” katanya ketika berucap pada Townhall Selangor Aerospace Action Plan Invest Selangor, di The Saujana Hotel Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Amirudin berkata, berdasarkan perkembangan itu juga, kerajaan negeri telah mengkaji dan kini sedang memuktamadkan rancangan pembangunan industri tersebut melibatkan melibatkan kawasan Lapangan Terbang Subang, Serendah serta di KLIA, Sepang.
Katanya, Selangor berharap dapat memiliki lebih banyak pembuatan aeroangkasa, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), tapak Pengilangan Pesawat Udara, Tear Down of Aircraft, Galleys (Aircraft Interior) dan juga kedudukan Selangor sebagai Pusat Kecemerlangan R&D Aeroangkasa.
“Perbincangan juga dibuat dengan syarikat-syarikat antarabangsa untuk penempatan semula beberapa operasi syarikat bertaraf antarabangsa untuk dipindahkan ke Selangor,”katanya.
Tambahnya lagi, Selangor juga merancang memiliki logistik bersepadu sepenuhnya dalam industri berkenaan yang mampu menghasilkan nilai berimpak tinggi, terutama melalui penggunaan ‘Internet of Things’ (IoT) bagi memastikan pengeluaran nilai tambah dapat diwujudkan dengan menyediakan ekosistem lebih kondusif terhadap pelabur.
“Selangor bukan sahaja bergerak ke arah industri aeroangkasa dan penerbangan, bahkan sebagai negeri yang merancang ke arah masa depan robotika secara strategik,”katanya.
Pada Majlis sama, beliau bersama Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Datuk Teng Chang Kim turut menyaksikan perjanjian persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) dan UMW Development Sdn Bhd (UMW Development)
Mou berkenaan bertujuan membantu mempromosikan kawasan perindustrian ‘High Value Manufacturing Park’ (UMW HVM Park) milik UMW Development Sdn Bhd yang terletak di Serendah.
Kawasan perindustrian itu adalah khusus bagi penempatan indsutri berteknologi tinggi dan salah satunya aeroangkasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!