'Dah buat keputusan awal'
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mempertahankan keputusan untuk menghantar skuad Bawah 20 tahun (B-20) bagi mengharungi Kelayakan Piala Asia B-23 yang dijadualkan berlangsung di Mongolia dari 27 hingga 31 Oktober depan.
Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee berkata, tindakan tersebut bukan dibuat selepas melihat kepada keputusan undian, sebaliknya telah dirancang sejak berakhirnya Sukan SEA 2019 di Filipina.
Malah, barisan kendalian Brad Maloney itu juga merupakan skuad perancangan jangka masa panjang terutama dalam menyediakan pemain untuk sasaran kelayakan secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024.
"Kami telah buat keputusan untuk hantar pasukan B-20 ini bukan selepas undian. Kami telah berbincang bukan sahaja di pihak FAM, malah juga di peringkat Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
"Selepas kekalahan skuad B-23 pada Sukan SEA Manila, saya telah dipanggil untuk membuat post mortem bersama pihak MSN dan MOM.
"Daripada situ, saya mencadangkan pasukan B-20 untuk diberikan peluang bukan sahaja beraksi dalam kelayakan AFC tetapi juga pada Sukan SEA akan datang," katanya dalam sidang media secara maya pada Sabtu.
Dalam aksi kelayakan itu nanti, Malaysia bakal beraksi dalam Kumpulan J bersama Thailand, Laos dan Mongolia bagi merebut 15 slot pasukan terbaik ke pusingan akhir edisi ke lima kejohanan tersebut di Tashkent, Uzbekistan pada Jun 2022.
Pada Jumaat, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selesai mengadakan undian dengan menyaksikan 42 pasukan yang bertanding dibahagikan kepada 11 kumpulan iaitu enam kumpulan bagi Zon Barat dan lima (Zon Timur).
Juara setiap kumpulan akan disertai empat pasukan tempat kedua terbaik kumpulan dan juga tuan rumah, Uzbekistan bagi membentuk 16 pasukan terbaik yang bakal beraksi pada Piala Asia B-23 tahun depan.
Dalam pada itu, Kim Swee berkata, beliau memahami pandangan yang disuarakan sesetengah pihak terutamanya peluang pemain berusia bawah 22 tahun yang tidak akan mendapat peluang bermain dalam kejohanan tersebut.
"Saya faham kita ada beberapa pemain berusia bawah 22 tahun yang masih layak beraksi, tetapi kita harus tahu tumpuan kita adalah untuk memberikan laluan kepda pemain berusia 20 tahun ke bawah.
"Ini bagi membolehkan mereka mendapat pengalaman dan pendedahan dan lebih penting untuk kita layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris pada tahun 2024.
"Jadi, ini tujuan utama kita.Kita perlu bersiap sedia dengan persiapan yang lebih baik untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia dan jika berjaya layak, ia satu bonus untuk para pemain skuad B-20 ini," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!