Gajah betina ditemukan mati dalam Sungai Bahai
KLUANG - Seekor gajah betina ditemukan mati dalam Sungai Bahai di Kampung Orang Asli Sungai Peroh di sini pada Sabtu.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Aminuddin Jamin berkata, bangkai gajah tersebut ditemukan penduduk kampung pada jam 9 malam sebelum memaklumkan perkara itu kepada pihaknya.
"Melalui siasatan awal mendapati gajah tersebut sudah mati kira-kira dua minggu lalu sebelum ditemukan di sungai tersebut.
"Punca kematian sama ada lemas atau sebab lain akan diketahui selepas bedah siasat yang akan dilakukan segera," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.
Menurut beliau, gajah berkenaan dipercayai datang dari kawasan hutan berhampiran dan bangkainya akan ditanam selepas bedah siasat dilakukan.
Beberapa hari sebelum penemuan tersebut, sekumpulan gajah masuk ke Kampung Sri Timur di sini dan kejadian itu tular dalam media sosial.
Kehadiran gajah berkenaan dipercayai untuk mencari makan selain turut memusnahkan tanaman penduduk kampung.
Pada Julai 2019, dua ekor gajah liar 'naik minyak' di Kampung Sri Timur dan meranapkan sebuah rumah penduduk, malah sebulan sebelum itu tiga ekor gajah mati akibat diracun di kampung berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!