Sultan Selangor sedih terpaksa hadkan fungsi masjid, surau
SABAK BERNAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita berikutan peningkatan angka kematian akibat wabak Covid-19 di negeri ini hingga terpaksa memutuskan untuk terus mengehadkan fungsi masjid dan surau di seluruh negeri Selangor.
Melalui satu kenyataan media dikeluarkan Istana Alam Shah, Sultan Sharafuddin bertitah bahawa baginda amat memahami luahan hati rakyat dan rayuan umat Islam di media sosial serta menerusi surat yang menggesa agar masjid di negeri Selangor kembali berfungsi sepenuhnya seperti sediakala.
Bagaimanapun titahnya, keputusan terbabit diambil setelah meneliti dan memantau dengan terperinci data serta statistik penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan di Selangor.
"Di sini, baginda menzahirkan rasa dukacita terhadap dua perkara susulan daripada penularan wabak berbahaya Covid-19 yang melanda negara sejak tahun lalu.
"Pertama, baginda sedih dan kecewa kerana terpaksa memutuskan untuk terus mengehadkan fungsi masjid-masjid dan surau di seluruh negeri Selangor.
"Kedua, baginda sedih dan dukacita apabila melihat peningkatan angka-angka kematian akibat wabak Covid-19 di seluruh pelusuk negeri Selangor," menurut kenyataan itu yang turut dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office pada Ahad.
Kenyataan itu turut memaklumkan, sehingga Jumaat lalu, Selangor telah merekodkan sebanyak 4,400 kes jangkitan baharu, selain mencatatkan sejumlah 1,933 kematian dengan sebanyak 28 jumlah kematian dicatatkan pada Jumaat.
"Apa yang lebih membimbangkan baginda, pada akhir Jun 2021, data menunjukkan kematian dalam kalangan bangsa Melayu di negeri ini mencecah 855 orang iaitu lebih daripada separuh daripada jumlah 1,571 kematian ketika itu.
"Beberapa minggu sebelum Ramadan lalu misalnya, apabila kelonggaran diberikan untuk aktiviti ibadat dilakukan di masjid-masjid, kadar jangkitan terus merebak sehingga mewujudkan beberapa kluster baharu di masjid dan surau di negeri ini," kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, baginda turut kesal kerana meskipun pelaksanaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dikawal dan diperketat di masjid, namun penularan wabak berbahaya ini terus mengganas.
"Baginda sendiri tidak sanggup lagi untuk melihat visual-visual memilukan yang memaparkan kesedihan waris keluarga kerana tidak berkesempatan menziarahi di hospital dan menghantar jenazah ke tanah perkuburan.
"Disebabkan itu, sehingga hari ini, walaupun berat hati, baginda masih berpendirian bahawa aktiviti keagamaan di masjid dan surau mesti dihadkan khususnya solat berjemaah demi keselamatan seluruh umat Islam di negeri Selangor yang baginda kasihi," kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Sultan Sharafuddin berpandangan kesan daripada penularan wabak Covid-19 adalah berbeza bagi setiap negeri, justeru perbandingan tidak boleh dibuat secara kasar, apatah lagi, Selangor sehingga kini masih lagi merupakan negeri dengan catatan kes baharu dan kematian tertinggi sejak beberapa bulan lalu.
Kenyataan itu memaklumatkan bahawa baginda menegaskan sekiranya jumlah kes jangkitan baharu terus menurun dan jumlah peratusan pemberian vaksin berbanding jumlah populasi terus meningkat, masjid dan surau akan kembali dibuka seperti biasa.
"Baginda mahu seluruh umat Islam di Selangor terus menunaikan solat dan beribadat di rumah serta tidak putus memanjatkan doa ke hadrat ALLAH SWT agar menghapuskan wabak berbahaya ini.
"Di kesempatan ini, baginda ingin menasihatkan umat Islam agar kekal tabah dan bersabar kerana wabak ini adalah satu ujian serta dugaan supaya kita sentiasa mengingati kebesaran ALLAH SWT," tambah kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!