Tujuh remaja dikompaun sambut hari jadi
ALOR GAJAH - Tujuh remaja dikenakan kompaun akibat melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana mengadakan majlis sambutan hari jadi pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, mereka yang berusia antara 14 hingga 18 tahun itu, terdiri daripada tiga lelaki dan empat wanita.
Katanya, kesemua mereka ditahan semasa sedang berkumpul di hadapan rumah di Kuala Ina, Pulau Sebang, Alor Gajah.
"Pemeriksaan mendapati mereka gagal mematuhi SOP PKP Peraturan 4 (1) dan 11 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (PPN) 2021.
"Ada di antara mereka juga tidak mempunyai sebarang dokumen sokongan rentas negeri mahupun daerah," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambahnya, perbuatan kesemua individu itu disifatkan berisiko dan merbahaya, memandangkan ada yang datang dari daerah dan negeri yang mencatatkan staitistik kes Covid-19 yang tinggi.
"Mereka hadir di lokasi semata-mata untuk berhibur, dalam kes ini pemilik premis atau bangunan juga boleh dikenakan hukuman di bawah akta yang sama kerana menerima tetamu," katanya.
Jelasnya, kesemua individu dibawa ke Balai Polis Pulau Sebang untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!