Sultan Johor terus kurnia bantuan kepada rakyat terkesan
JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar terus mengurniakan bantuan makanan kepada rakyat negeri ini bagi mengurangkan beban mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Terbaharu, seramai 424 keluarga dari Kampung Melayu Batu 10 dan Kampung Melayu Kangkar Pulai, Skudai menerima bantuan tersebut yang disalurkan menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) pada Ahad.
Salah seorang penerima bantuan, Suraiani Sibin, 41, berkata, dia amat bersyukur dan terharu dengan keprihatinan Sultan Ibrahim dalam membantu rakyat.
Suraiani merupakan ibu kepada Muhammad Ariff Hakim, 11, yang lumpuh pada bahagian kiri badan dan mengalami masalah pertuturan sejak kecil selepas dilahirkan pada usia tujuh bulan atau pramatang.
“Saya amat bersyukur atas bantuan makanan yang diterima dan berterima kasih kepada baginda yang sentiasa membantu rakyat susah,” katanya seperti dilaporkan Royal Press Office (RPO) pada Ahad.
Bantuan itu disampaikan wakil Sultan Johor, Mejar Cina Datuk David Wong dengan diiringi Penghulu Kanan Mukim Pulai, Zainuddin Zainal Abidin.
Sementara itu, Zainuddin berkata, dia menjunjung kasih kepada Sultan Ibrahim atas kurniaan bantuan berkenaan.
“Kampung-kampung sekitar ini ramai warga emas yang memerlukan bantuan. Ini serba sedikit dapat meringankan beban mereka,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!