Nelayan lari tinggalkan ketum bernilai RM180,000
ALOR SETAR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar lebih kurang satu tan daun ketum dipercayai oleh nelayan tempatan di kedudukan 0.1 batu nautika dari muara Kuala Kerpan, Jerlun pada 1.30 pagi Jumaat.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, selepas menerima maklumat risikan awal, sebuah bot ronda telah digerakkan ke lokasi berkenaan.
Mohd Zawawi berkata, pihaknya berjaya mengesan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran bergerak dalam keadaan mencurigakan menuju keluar dari Kuala Kerpan.
"Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek bertindak menukar arah dengan memecut laju menuju ke persisiran pantai berdekatan bagi meloloskan diri dengan meninggalkan bot serta muatannya.
"Kami tidak menolak suspek adalah nelayan tempatan yang menerima upah untuk membawa daun ketum ini. Mereka mempunyai bot selain tahu selok-belok di kawasan ini untuk melarikan diri jika kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa," katanya pada sidang akhbar di Marina Habour, Kuala Kedah pada Ahad.
Mohd Zawawi berkata, pasukan serbuan telah menemui 100 bungkusan plastik hitam disyaki daun ketum di atas bos tersebut dengan nilai sekitar RM180,000.
Menurutnya, barangan larangan itu dipercayai cuba diseludup ke negara jiran melalui jalan laut berikutan harga pasaran semasa di Thailand mencecah lebih RM180 setiap satu kilogram (kg) berbanding pasaran tempatan sebanyak RM40.
"Upah yang diterima untuk membawa barang larangan seperti ini biasanya sebanyak RM200 bagi satu perjalanan. Jika berat daun ketum mencecah satu tan, upahnya sudah dikira lain iaitu berdasarkan beratnya.
"Upah sebegini memang menarik minat nelayan ataupun komuniti maritim untuk membawanya kerana pendapatan mereka tidak menentu sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini," ujarnya.
Mohd Zawawi berkata, semua hasil rampasan berserta bot fiber dan enjin dianggarkan bernilai RM235,000 itu dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.
"Kes akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.
"Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya," katanya lagi.
Tambahnya, rampasan kali ini adalah kali ketujuh bagi tahun ini dan merupakan rampasan terbesar buat kali kedua selepas rampasan pada bulan Mac yang lepas.
"Jumlah keseluruhan rampasan ketum bagi tahun 2021 adalah 3.2 tan dan berjumlah RM734,600," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!