Pengesanan kes aktif Kluster Titian kesan 10 peratus kes positif
Ketua Pengarah Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari berkata, kluster di Skim Penempatan Masyarakat Pelarian Filipina (SPMP) yang mempunyai 2, 912 pelarian itu setakat ini terkawal dan akan terus dipantau.
“Kebanyakan penduduk di skim penempatan itu bekerja di pusat bandar, ada juga yang terlibat dalam sektor pembinaan. Sudah tentu mereka ada interaksi dengan masyarakat setempat... oleh itu, menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan mereka bebas daripada jangkitan Covid-19,” katanya kepada Bernama.
Operasi ACD itu yang bermula Jumaat lepas dan berakhir pada Sabtu bertujuan memastikan penularan Covid-19 di penempatan yang berkepadatan tinggi itu dapat dibendung dengan berkesan.
Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Labuan, Mohd Hafiez Daud berkata, skim penempatan itu berdaftar dengan MKN.
“Pelarian yang menduduki skim penempatan ini kebanyakannya memegang IMM13 (dokumen yang dikeluarkan untuk pelarian Filipina di Sabah dan Labuan) dan terdapat sebilangan kecil penduduk di situ adalah rakyat negara ini dan mereka yang berstatus pemastautin tetap Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan, Rithuan Ismail berkata, sekatan jalan raya di dua pintu masuk skim penempatan itu yang dilaksanakan sejak Jumaat lepas akan ditamatkan beberapa hari lagi bergantung kepada nasihat daripada Jabatan Kesihatan Labuan.
Labuan menyaksikan trend menurun dalam bilangan individu yang diuji positif Covid-19 merekodkan dua digit kes baharu empat hari lepas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!