Wanita warga Indonesia jadi buruh paksa diselamatkan

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang wanita warga Indonesia yang dipercayai dijadikan buruh paksa oleh majikannya diselamatkan dalam satu operasi melibatkan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja (JTK), polis dan Pasukan Tindakan Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) di Taiping, Perak pada Jumaat lepas.

Menurut Kementerian Sumber Manusia (KSM), operasi menyelamat pada jam 6.30 pagi itu dilakukan susulan aduan dan maklumat daripada Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur pada Rabu lalu.

KSM dalam kenyataan pada Ahad berkata, majikan dikatakan mengambil kesempatan dengan memanipulasi pekerja tersebut yang tidak mempunyai permit kerja dan dikategorikan sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Majikan menjadikan isu PATI sebagai ugutan untuk memaksa mangsa melakukan pelbagai kerja rumah dengan tekanan fizikal dan mental,” katanya.

Menurut KSM, wanita berkenaan dibawa masuk ke Malaysia oleh seorang ejen yang memaklumkan bahawa beliau akan bekerja sebagai pembantu rumah dan dijanjikan gaji sebanyak RM1,000.

"Mangsa telah diminta membayar sebanyak tiga bulan gaji sebagai bayaran perkhidmatan kepada ejen selepas mendapat pekerjaan dan bayaran tersebut telah dilunaskan melalui potongan gaji mangsa," kata kenyataan itu.

Menurut KSM, wanita berumur 36 tahun itu juga pernah dipukul dengan tangan oleh majikan kerana tidak berpuas hati dengan kerja dilakukan dan tidak diberi makan sekiranya menyuarakan hasrat untuk kembali ke negara asal ataupun tidak mahu bekerja lagi.

“Malah, gaji mangsa kerap dibayar lewat dan pernah terjadi wang gaji yang telah diserahkan ke tangan diambil semula oleh majikan,” kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

KSM berkata, siasatan awal mendapati terdapat indikator buruh paksa yang telah dilakukan terhadap mangsa dan majikan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

KSM berkata, mangsa yang masih dalam keadaan trauma kini ditempatkan di Rumah Perlindungan Zon Tengah selepas diberikan Perintah Perlindungan Interim (IPO) oleh Mahkamah Magistret Taiping pada tarikh sama mangsa diselamatkan.

IPO tersebut sah untuk tempoh 21 hari iaitu sehingga 30 Julai ini bagi melengkapkan kertas siasatan JTK di bawah Akta ATIPSOM 2007 untuk dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi semakan dan membuat keputusan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!