Vaksinasi Covid-19 syarat dapat lesen berniaga

Salah seorang penerima vaksin Covid-19 di Taman Selera Harmoni hari ini. Foto Bernama
Salah seorang penerima vaksin Covid-19 di Taman Selera Harmoni hari ini. Foto Bernama
A
A
A

SIBU - Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS) bersetuju dengan ketetapan Majlis Perbandaran Sibu (MPS) untuk meletakkan vaksinasi Covid-19 sebagai antara syarat pembaharuan atau permohonan baharu lesen perniagaan di pasar atau pusat penjaja majlis perbandaran itu.

Penyelaras JPBBS, Dr Annuar Rapaee berkata, langkah itu bukan sahaja dapat melindungi peniaga, malah warga bandar Sibu secara keseluruhannya daripada jangkitan Covid-19.

“Saya amat bersetuju dengan langkah MPS tetapi prosedur permohonan itu perlu jelas buat para peniaga,” katanya kepada Bernama.

Beliau yang juga Menteri Muda Kesihatan Awam dan Perumahan Sarawak berkata demikian semasa meninjau program vaksinasi Covid-19 melibatkan kira-kira 70 peniaga Taman Selera Harmoni di sini.

Sementara itu, Pengerusi MPS, Clarence Ting ketika dihubungi Bernama berkata, keputusan mengenakan vaksinasi Covid-19 sebagai syarat wajib bagi pembaharuan dan permohonan baharu lesen perniagaan adalah bagi melindungi orang awam yang berada di tempat seliaan MPS.

Syarat itu juga telah diumumkan sejak bulan Jun lalu dengan semua peniaga di pasar dan pusat penjaja MPS yang telah melengkapkan kedua-dua dos vaksin Covid-19 akan diberikan sijil.

Peniaga yang tidak memiliki sijil tersebut tidak akan dibenarkan beroperasi bermula 1 September depan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!