Aksi zig-zag bawa padah, empat mat rempit ditahan
KUALA LUMPUR - Tindakan empat lelaki termasuk seorang remaja berusia 16 tahun menunggang motosikal dengan aksi berbahaya membawa padah apabila ditahan dalam Operasi Khas Samseng Jalanan di Batu Pahat, Johor pada malam Sabtu.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, kesemua yang ditahan dalam lingkungan umur 16 hingga 24 tahun itu dilihat menunggang sambil melakukan aksi menundukkan badan dan bersaing sesama sendiri.
Katanya, pasukan tangkapan terlihat aksi empat individu berkenaan sekitar jam 7 malam dan bertindak mengekori suspek sebelum melakukan tangkapan mengikut Seksyen 28A Kanun Prosedur Jenayah.
“Sambil melakukan aksi bersaing sesama sendiri, mereka menundukkan badan dan aksi zig-zag bermula dari KM 15 hadapan Sekolah Menengah Sri Gading sehingga di KM 14 Simpang Kampung Baru.
“Apabila sampai di KM 12 persimpangan lampu isyarat Sri Bengkal/Sengkuang, suspek sekali lagi dilihat telah melakukan aksi yang sama sehingga di KM 11,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Nadzri berkata, kesemua suspek dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Batu Pahat untuk tindakan lanjut serta kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!