Berpura-pura jadi pelanggan sebelum larikan kereta

Sebuah kereta Honda yang dilarikan dua suspek berjaya ditemukan semula selepas polis menyerbu di sebuah rumah di Taman Berjaya, Simpang Renggam, Kluang pada Sabtu.
Sebuah kereta Honda yang dilarikan dua suspek berjaya ditemukan semula selepas polis menyerbu di sebuah rumah di Taman Berjaya, Simpang Renggam, Kluang pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki dan wanita berpura-pura mahu membeli sebuah kereta dari sebuah kedai terpakai di Taman Melodies di sini sebelum melarikan kenderaan itu dalam kejadian pada Jumaat.

Namun tidak sampai 24 jam, kedua-dua suspek berusia 20-an itu berjaya diberkas di Taman Berjaya, Simpang Renggam, Kluang.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, pada mulanya jurujual berkenaan membuat laporan polis kehilangan kereta itu dan tidak memberitahu cerita sebenar.

"Semasa disoal siasat Bahagian Siasatan Jenayah mendapatinya membuat laporan palsu, kereta itu sebenarnya dilarikan pasangan itu yang berpura-pura menjadi pelanggan.

"Bertindak atas maklumat pada jam 10 pagi Sabtu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah D4 Johor Bahru Selatan dibantu Balai Polis Simpang Renggam membuat serbuan di sebuah rumah di taman tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, menerusi serbuan itu pihak polis berjaya menahan kedua-dua suspek dan merampas kereta yang dilaporkan hilang.

"Semakan mendapati kedua-duanya mempunyai rekod jenayah lampau dan masih dikehendaki polis. Kedua-duanya ditahan direman selama empat hari bermula 11 hingga 14 Julai bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara satu hingga tujuh tahun dan denda," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Padzli berkata, jurujual yang membuat laporan palsu itu pula disiasat di bawah 379A/182 Kanun Keseksaan dan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

"Jika sabit kesalahan boleh dipenjara enam bulan, denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!