Atlet negara perlu pamer semangat luar biasa di Tokyo 2020
KESEMUA 30 atlet negara yang bakal mengharung cabaran di Sukan Olimpik Tokyo bermula bulan ini menunjukkan semangat luar biasa untuk melakar kejayaan di temasya sukan berprestij itu, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Beliau berkata, ia dapat dilihat dalam persediaan dan kesungguhan mereka, meskipun berdepan pelbagai cabaran serta kesukaran susulan kemunculan pandemik Covid-19 berbanding edisi sebelum ini.
“Setakat ini mereka (atlet) tidak membangkitkan perkara lain, mereka hanya bangkitkan keinginan serta kesungguhan mereka yang membuak-buak untuk beraksi di Tokyo. Memang benar ada perasaan bercampur baur, ada yang gementar dan ada yang baru pertama kali beraksi di Olimpik.
“Contoh seperti Azreen (atlet pecut wanita 100m Azreen Nabila Alias) yang terpilih ke temasya sukan itu atas tiket “wild card”, dia mahu buktikan bahawa pemilihannya adalah pemilihan yang betul, dan akhirnya menjawab banyak persoalan yang timbul.
“Demikian juga dalam kalangan penerjun dan Azizulhasni (Mohd Azizulhasni Awang) sendiri, mereka mempunyai sasaran, mereka rasakan walaupun berhadapan dengan pelbagai halangan dan kesukaran yang dilalui - inilah masanya. Tidak ada lagi peluang yang terbaik, inilah masanya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media secara dalam talian selepas mengadakan pertemuan dengan atlet negara ke Sukan Olimpik Tokyo secara maya hari ini, yang turut disertai Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dan Ketua Kontinjen Datuk Lee Chong Wei.
Sukan Olimpik Tokyo dijadual bermula dari 23 Julai hingga 8 Ogos, dengan Malaysia diwakili 30 atlet yang akan beraksi dalam 10 sukan di temasya berkenaan.
Reezal Merican berkata, meskipun atlet terpaksa bertanding dalam norma baharu dengan ketiadaan penonton dan sorakan, namun ia tidak akan menghalang mereka daripada memberikan 100 peratus komitmen apabila melangkah masuk ke ‘gelanggang’.
Pada masa sama, Reezal Merican berkata, tiga sukan iaitu terjun, berbasikal dan badminton kekal menjadi sandaran utama meraih pingat di Tokyo.
“Walaupun begitu, yang lain turut mempunyai keupayaan tersendiri. Secara realistik tiga sukan itu mempunyai prospek untuk menyumbangkan pingat seperti mana yang berlaku di Rio (Sukan Olimpik 2016),” tambah beliau.
SENARAI ATLET MALAYSIA KE TOKYO 2020
MEMANAH
Khairul Anuar Mohamad
Syaqiera Mashayikh
OLAHRAGA
Lee Hup Wei
Azreen Nabila Alias
BADMINTON
Lee Zii Jia
Sonia Cheah
Aaron Chia & Soh Wooi Yik
Chow Mei Kuan & Lee Meng Yean
Chan Peng Soon & Goh Liu Ying
BERBASIKAL
Mohd Azizulhasni Awang
Muhammad Shah Firdaus Sahrom
TERJUN
Nur Dhabitah Sabri
Ng Yan Yee
Cheong Jun Hoong
Pandelela Rinong Pamg & Leong Mun Yee
GOLF
Gavin Green
Kelly Tan
GIMNASTIK
Farah Ann Abdul Hadi
Jeremiah Loo Phay Xing
PELAYARAN
Khairulnizam Mohd Afendy
Nur Shazrin Mohd Latif
Nuraisyah Jamil
Juni Karimah Noor Jamali
MENEMBAK
Nur Suryani Mohamed Taibi
RENANG
Welson Sim Wee Sheng
Phee Jing En
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!