Bagaimana balak dikeluarkan tanpa disedari Jabatan Hutan
PERTUBUHAN Pelindung Khazanah Malaysia (Peka) menganggap penerokaan hutan simpan oleh pekebun durian haram di Raub, Pahang sejak berpuluh-puluh tahun lalu sebagai fenomena yang pelik.
“Bagaimana tiada satu pun agensi kerajaan yang mengesan perkara itu berlaku sedangkan tentunya terdapat pengeluaran hasil dan transaksi jual beli?” kata Naib Pengerusi 1 Peka, Saha Deva dalam temu bual bersama Sinar Harian.
Menurutnya, langkah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menebang pokok durian yang telah matang pastinya akan menimbulkan isu alam sekitar kerana pokok hutan mengambil masa bertahun-tahun untuk membesar.
Dalam temu bual ini, Saha Deva turut memberitahu wartawan Sinar Harian, Mukhriz Mat Husin mengenai pentingnya kebun durian haram di Raub dikembalikan statusnya sebagai hutan simpan kekal.
SINAR HARIAN: Bagaimana anda melihat isu pencerobohan hutan di Raub khususnya Hutan Simpan Kekal Batu Talam?
SAHA DEVA: Sepatutnya perkara ini tidak berlaku kerana ia merupakan kawasan hutan simpanan. Tetapi yang peliknya perkara ini boleh berlaku. Terdapat pembukaan hutan tetapi pihak Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) seolah-olah tiada pengetahuan tentang perkara ini.
Agensi kerajaan negeri yang lain juga tidak tahu bagaimana ia berlaku. Macam mana pokok-pokok boleh ditebang, balak-balak dibawa keluar tanpa pengetahuan sesiapa (semasa kawasan itu mula dibuka)?
Kemudian, saya rasa ada pokok durian yang hampir 40 tahun ditanam di sana dan hasilnya telah diambil dari tahun ke tahun.
Jadi bagaimana tiada satu pun agensi kerajaan dapat mengesannya Tentunya terdapat pengeluaran hasil dan transaksi jual beli.
Itu juga menjadi satu tanda tanya. Isu itu perlu disiasat khususnya oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Selain itu, setelah perkara ini lama dibiarkan, sekarang tiba-tiba kerajaan negeri hendak mengambil tindakan. Tindakan itu pula menimbulkan banyak persoalan. Mengapa kerajaan negeri begitu terdesak hendak menebang pokok durian tersebut?
Saya tidak faham apa perlunya kerajaan negeri menebang pokok-pokok itu dalam keadaan kita ingin menyelamatkan dan menanam pokok?
ARTIKEL BERKAITAN: Provokasi ketika operasi, 18 pekebun haram durian musang king ditahan
18 pekebun durian musang king direman dua hari
Musang king: Operasi tebang pokok tidak langgar perintah mahkamah
Adakah langkah menebang pokok durian itu akan memberi kesan kepada tanah di kawasan berkenaan?
Bagi kami, setiap pokok yang tumbuh adalah penting kepada alam sekitar. Setiap pokok itu ada fungsinya sendiri dalam memastikan kelestarian alam.
Paling penting, apakah tujuan menebang pokok itu. Tujuannya tentulah untuk menghentikan pencerobohan.
Namun, mereka sepatutnya mengambil tindakan ke atas penceroboh, bukan terhadap pokok yang telah ditanam. Pokok durian adalah spesies endemik di Pahang.
Ia boleh dibiarkan dan kawasan sekitarnya dapat dipulihkan dengan penanaman semula dan sebagainya. Tentunya dengan menebang pokok-pokok yang sedia, ada kesan-kesannya pada alam sekitar.
Bagaimanakah kerajaan dapat memastikan perkara ini tidak berulang?
Cara yang terbaik adalah pihak JPNP menjalankan tugas berlandaskan undang-undang. Akta perhutanan di negara kita sudah menyatakan bagaimana hutan-hutan ini perlu dikawal, cara mengambil hasil hutan dan sebagainya.
Satu lagi cara ialah mereka meningkatkan keberkesanan penugasan mengawal kawasan hutan dengan sektor-sektor seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama-sama menjalankan kerja-kerja pemantauan.
Bagi membolehkan aktiviti melindungi hutan secara berkesan bersama pihak awam, pihak berkuasa perlu telus memberikan maklumat dan data-data mengenai hutan. Ia penting bagi kita untuk mengenal pasti dengan tepat kawasan yang perlu dilindungi.
Salah satu cara untuk mewujudkan situasi menang-menang ialah kerajaan mengeluarkan lesen pendudukan sementara kepada peneroka tanah. Apa pandangan anda mengenainya?
Bagi pihak Peka, jika tanah itu adalah hutan simpan kekal, maka cadangan itu tidak seharusnya dibenarkan khususnya jika pekebun-pekebun itu menceroboh masuk. Kawasan hutan simpan perlu dikembalikan kepada keadaan asalnya dan usaha-usaha untuk menanam semula perlu dilakukan.
Tetapi jika kerajaan negeri bersedia untuk memberi atau mewartakan satu kawasan hutan lain sebagai hutan simpan kekal bagi menggantikan kawasan terbabit, mereka boleh mengambil tindakan yang perlu seperti memberi lesen sementara (TOL) dan sebagainya.
Namun, jika hutan itu pada asalnya adalah hutan simpan yang telah diceroboh, ini (TOL) bukannya satu pilihan.
Pada pandangan anda, apakah faktor pekebun-pekebun haram ini berani menceroboh tanah kerajaan?
Mungkin sebab mereka tahu mereka boleh terlepas daripada penguatkuasaan.
Yang keduanya, mungkin mereka tahu bahawa pengurusan hutan tidak teratur dan akan mengambil masa sebelum pihak berkuasa mengesan atau mengetahui kawasan itu telah diceroboh oleh pekebun-pekebun haram.
Semua ini andaian, melainkan jika pihak SPRM menyiasat secara mendalam. Hanya selepas siasatan sebegitu barulah kita dapat tahu mengapa perkara ini berlaku.
ARTIKEL BERKAITAN: Isu pekebun haram: Kenapa baru sekarang ditebang?
Siasatan SPRM sudah lengkap 80 peratus
Apakah tindakan Peka sendiri dalam menangani isu seperti ini?
Pihak Peka akan tetap melobi supaya kawasan tersebut jika dikembalikan kepada kerajaan negeri, akan dikekalkan atau dibaik pulih sebagai hutan simpan kekal.
Memang itu saranan kita kepada kerajaan, bukannya mengambil alih dusun tersebut, kemudian menukar statusnya kepada hutan hasil atau kebun.
Itu tidak boleh. Jika kerajaan negeri mengambilnya kembali, kerajaan perlu memulihkannya sebagai hutan simpan. Mereka tidak boleh ambil hasilnya, atau menjualnya kepada syarikat tertentu.
Apakan saranan anda supaya kerajaan boleh pulihkan status hutan simpan kekal tersebut?
Mereka boleh mengenakan denda terhadap pemilik dusun yang telah menceroboh dan hasil durian itu boleh digunakan untuk membaik pulih hutan itu sendiri.
Terdapat juga pihak-pihak yang ingin memberikan bantuan kewangan bagi tujuan memulihkan hutan, jadi kerajaan boleh mengambil peluang itu untuk mendapatkan bantuan dari luar negara dan syarikat-syarikat dalam negara.
Selain itu, kawasan tersebut boleh dijadikan sebagai kawasan untuk penyelidikan seperti hutan di Costa Rica di mana orang membayar untuk datang membuat kajian di situ.
Dana-dana ini kemudian digunakan untuk membaik pulih kawasan hutan di sana.
Sekiranya aktiviti pencerobohan hutan ini dibiarkan berlarutan, apakah kesannya kepada negara pada masa akan datang?
Malaysia telah membuat banyak komitmen seperti memberi aku janji untuk mengekalkan jumlah minimum hutan. Kalau aktiviti pencerobohan ini masih dibenarkan, kita tidak akan dapat menunaikan aku janji tersebut.
Kita sendiri sedia maklum bahawa hutan-hutan kita ini mempunyai pengaruh terhadap perubahan iklim.
Jika perkara ini berlarutan, kita akan menghadapi masalah secara langsung akibat perubahan iklim tersebut. Ini khususnya isu air sebab dengan hilangnya hutan, sumber air kita akan berkurangan.
Perkara ini terutamanya berlaku apabila pembukaan hutan secara kaedah ‘cuci mangkuk’, yang menyebabkan tanah di situ berubah dan tidak dapat mengekalkan kandungan airnya.
Ia akan membawa kesan kepada bukan sahaja penduduk negeri itu, tetapi seluruh Malaysia.
Kesan perubahan iklim ini tidak terhad di sempadan setiap negeri sahaja. Satu Malaysia malah satu dunia akan merasainya.
Selain itu, apabila kebun-kebun ini dibuka mereka menggunakan baja, racun serangga dan sebagainya. Kesemua ini juga boleh masuk ke dalam sungai. Sungai akan tercemar akibat aktiviti perladangan di kawasan hutan khususnya jika kawasan hutan tersebut adalah kawasan tadahan air. Memang kesannya buruk.
Sebarang penukaran status tanah daripada hutan kepada ladang perlu mengambil kira semua perkara ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Bongkar pencerobohan tanah kerajaan seluruh Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!