Pemuda berhati mulia mahu derma buah pinggang
SHAH ALAM - Seorang pemuda, Khairul Ikhwan Syafiq Solahuddin, 22, tampil menyatakan kesudian untuk mendermakan salah satu daripada dua buah pinggangnya kepada Saidatul Hazirah Parlan yang mengalami masalah ginjal selepas mengambil vitamin C secara berlebihan.
Kisah Saidatul Hazirah, 22, yang disiarkan Sinar Harian menerusi satu laporan khas bertajuk ‘Mitos Vitamin C Ubati Covid-19᾿ pada 6 Julai lalu menyentuh hati jutaan pembaca termasuk Khairul Ikhawan Syafiq.
Khairul Ikhawan Syafiq yang lebih mesra dikenali sebagai Syafiq sejak minggu lalu berusaha menghubungi wartawan Sinar Harian untuk menyampaikan hasratnya itu kepada Saidatul.
Menurut Syafiq, beliau tergerak untuk menunaikan niat murni itu kerana berpegang pada prinsip ‘hidup cuma sekali᾿ dan berharap pertolongannya dapat membantu orang lain supaya menjalani kehidupan seperti biasa sama seperti dirinya.
“Saya terdetik untuk membantu apabila membuka media sosial dan berita berkenaan berada di mana-mana. Berita itu keluar sederet dan mungkin satu petanda untuk saya.
“Jadi saya terus mencari maklumat dan membaca kisah hidup beliau untuk mengetahui kesahihan cerita lebih lanjut.
“Ia berlaku secara tiba-tiba dan saya ikhlas mendermanya. Saya juga pernah sakit dan berada dalam situasi yang sama. Jadi, saya rasa tidak salah kali ini saya pula yang membantu orang lain dalam kesakitan,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, semasa berumur 13 tahun, Syafiq pernah kemalangan langgar lari ketika berjalan kaki selepas membeli makanan. Mujurlah seorang insan yang baik hati membantu beliau dan ini menjadi pengajaran untuknya membantu orang lain pula.
“Kira-kira sembilan tahun lalu, saya pernah kemalangan dan patah kaki kanan. Akibatnya, saya kehilangan banyak darah dan ada seorang insan yang baik hati menderma darah beliau untuk membantu saya.
“Saya amat bersyukur dan sekarang masa saya pula untuk membantu orang lain,” katanya.
Niat baik
“Walaupun dirinya masih muda dan merupakan seorang pelajar perbankan di sebuah universiti awam di Johor, ia tidak menghalang Syafiq untuk membantu orang lain dan yakin niat yang baik akan dibalas baik.
“Saat saya membaca berita itu, saya berasa kasihan kerana dia masih muda dan semua orang buat silap.
“Jadi selagi boleh tolong, saya akan tolong semampunya kerana saya yakin kita sebagai manusia masih boleh hidup dengan satu buah pinggang sahaja.
“Perkara ini tidak dirancang dan niat saya hendak bantu beliau memang ikhlas tanpa paksaan. Setakat ini saya tidak rasa takut kerana niat nak membantu itu mengatasinya,” katanya.
Keluarga Syafiq yang pada mulanya membantah kemudian berubah hati bersetuju dan menyokong keputusannya selepas melihat kesungguhan dan keikhlasan Syafiq untuk membantu orang lain.
“Saya ada beritahu ayah tentang perkara ini dan pada awalnya dia kurang bersetuju dengan keputusan saya.
“Namun apabila saya menjelaskan niat ikhlas saya untuk membantu orang lain dalam kesusahan, dia bersetuju dan berkata terpulang pada diri sendiri untuk membuat keputusan,” katanya.
Syafiq yang berasal dari Georgetown, Pulau Pinang turut berkongsi harapan agar pengorbanan dan pertolongannya itu dapat memberi manfaat kepada dirinya dan sinar baru buat pesakit buah pinggang itu.
“Kepada pesakit itu, saya harap dia tidak memudaratkan dirinya dan menjaga kesihatan sebaik mungkin.
“Harapan saya agar semua proses dapat berjalan dengan lancar, cepat dan dipermudahkan. Manusia hidup hanya sekali jadi selagi saya boleh tolong saya akan bantu,” katanya.
Dalam pada itu, pesakit buah pinggang yang menunggu penderma, Saidatul Hazirah Parlan, 22, berkata, dia amat bersyukur dan teruja ketika menerima panggilan bahawa adanya insan mulia yang sudi menderma buah pinggang kepadanya.
“Saya tak tahu nak gambarkan perasaan macam mana tetapi yang pastinya saya amat bersyukur dan teruja. Ini adalah antara harapan terbesar saya dan keluarga.
“Menurut hospital, saya harus menunggu giliran dalam 10 hingga 15 tahun untuk mendapat penderma.
“Saya sudah menunggu dua tahun lebih dan sehingga kini masih tiada panggilan dari pihak hospital berkaitan penderma,” katanya.
Saidatul juga berharap dengan hadirnya penderma buah pinggang dapat membantunya mengubah kehidupan diri dan keluarganya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!