'Sambut baik siasatan SPRM'
RAUB - Gabungan Pertubuhan Melayu Islam Raub menyambut baik dan mengalu-alukan siasatan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas isu pencerobohan tanah kerajaan negeri yang dijadikan ladang durian secara haram di daerah tersebut.
Wakilnya, Fadzli Mohamad Kamal berkata, gabungan itu juga berharap supaya siasatan dapat disiapkan dengan segera, sekali gus dapat menjawab dakwaan atau kemusykilan banyak pihak yang mengaitkan isu tersebut dengan rasuah.
“Masyarakat di Raub juga ingin mengetahui situasi sebenar dan tidak mahu lagi dibelenggu dengan persoalan terbabit,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Beliau mengulas laporan muka depan Sinar Harian pada Sabtu berkenaan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki yang menjelaskan bahawa pihaknya sudah menjalankan siasatan berhubung isu tersebut iaitu sudah di tahap 80 peratus selain telah memanggil peneroka serta pihak berkuasa untuk dirakam keterangan.
Dalam pada itu, Fadzli juga mendesak mana- mana pihak yang memiliki bukti terdapat unsur rasuah pada isu tersebut supaya tampil kepada SPRM.
“Jangan cakap kosong, bagi kerjasama kerana SPRM telah berikan ruang dan minta tampil kepada pihak mereka,” tegasnya lagi.
Katanya, gabungan tersebut akan terus memberikan sokongan padu terhadap kepimpinan serta ketegasan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam menangani isu tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Bongkar pencerobohan tanah kerajaan seluruh Malaysia
Bagaimana balak dikeluarkan tanpa disedari Jabatan Hutan
Siasatan SPRM sudah lengkap 80 peratus
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!