Zamri dan Junhairi dinaikkan pangkat
SHAH ALAM - Timbalan Pengarang Berita Premium, Zamri Rambli dan Timbalan Pengarang Berita Umum, Junhairi Alyasa dilantik sebagai Pengarang Berita Sinar Harian yang baharu berkuatkuasa 1 Julai lalu.
Zamri, 41, akan bertanggungjawab sebagai Pengarang Berita Premium manakala Junhairi, 42, pula sebagai Pengarang Berita Umum.
Kedua-duanya yang berpengalaman luas dalam bidang pemberitaan dan laporan khas menyertai Sinar Harian dari akhbar Kosmo! pada tahun 2019.
Zamri yang berasal dari Pulau Pinang merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Kewartawanan dari Universiti Sains Malaysia pada 2003 sebelum menyertai Kumpulan Utusan Melayu sebagai wartawan pada Ogos 2004.
Beliau kemudiannya berpindah ke akhbar Kosmo! sebelum dilantik sebagai Pengarang Berita akhbar tersebut.
Selepas menyertai Sinar Harian, Zamri dipertanggungjawabkan antara lain untuk membangunkan kandungan premium.
Dengan pelantikan baharu ini, beliau akan terus membangunkan IP Premium Sinar Harian di samping memperkemaskan lagi kandungannya termasuklah membongkar lebih banyak kandungan di bawah segmen Rasuah Busters.
Sementara itu, Junhairi yang berasal dari Kedah, adalah lulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang komunikasi massa pada 2002.
Beliau menyertai meja berita akhbar Kosmo! pada 2006 sebelum dilantik sebagai wartawan eksekutif di Meja Ekonomi pada 2012.
Pada 2014 Junhairi dilantik sebagai Penolong Pengarang Berita dan kemudian sebagai Penolong Ketua Biro di Putrajaya.
Pada tahun 2019, beliau menyertai Sinar Harian sebagai Ketua Wartawan.
Dan pada September tahun yang sama beliau dilantik sebagai Timbalan Pengarang Berita yang bertanggungjawab ke atas tugasan harian para wartawan.
Dengan pelantikan baharu ini, beliau akan mengetuai Meja Umum dan Command Centre Sinar Harian dengan merancang tugasan dan kandungan umum akhbar serta perancangan muka hadapan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!