1,637 pelajar UUM pulang berperingkat
SINTOK - Seramai 1,637 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang tamat sesi akademik 2020/2021 akan pulang ke rumah secara berperingkat mulai Selasa bagi memastikan pergerakan terkawal.
Unit Komunikasi Korporat Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam satu kenyataan memaklumkan, kebenaran tersebut selaras dengan kenyataan media oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada Jumaat setelah mendapat persetujuan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menurutnya, bagi fasa permulaan, pergerakan pelajar hanya dibenarkan di kawasan yang tidak tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
"Kaedah pergerakan sehala pelajar menggunakan pengangkutan bas diselaraskan IPT dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Penggunaan kenderaan sendiri turut dibenarkan," katanya pada Isnin.
Menurutnya, 1,170 pelajar UUM akan pulang dengan menggunakan pengangkutan bas bermula 15 Julai melibatkan lapan bas ke Kelantan, Terengganu dan Pahang.
"Pada 16 Julai, lima bas ke Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Kuala Lumpur dan Putrajaya diikuti lapan bas ke Selangor dan Perak pada 17 Julai. Tujuh bas lagi ke Kedah, Pulau Pinang dan Perlis pada 18 Julai," katanya lagi.
Unit Komunikasi Korporat UUM berkata, 379 pelajar lagi akan pulang dengan menaiki kenderaan sendiri bermula 13 Julai dan 88 pelajar akan pulang ke Sabah dan Sarawak bergantung pada tarikh penerbangan.
Jelasnya, pelajar yang ingin kembali ke kampus untuk tujuan mengambil barang peribadi masih tidak dibenarkan berbuat demikian sehingga mendapat kebenaran MKN dan KPT yang akan dimaklumkan dari masa ke masa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!