Djokovic akui belum layak dilabel pemain tenis terbaik sepanjang zaman

Djokovic bersama trofi Wimbledon yang dimenanginya. - Foto: Reuters
Djokovic bersama trofi Wimbledon yang dimenanginya. - Foto: Reuters
A
A
A

PEMAIN nombor satu dunia Novak Djokovic mengakui dia masih belum boleh dilabel selaku pemain tenis terbaik sepanjang zaman biarpun berjaya meraih gelaran Grand Slam yang ke-20 apabila muncul juara perseorangan lelaki Kejohanan Tenis Wimbledon 2021 pada Ahad.

Menurut pemain Serbia berusia 34 tahun itu, berdasarkan pencapaiannya sehingga ke hari ini, dia masih belum layak dilabel pemain tenis terbaik sepanjang zaman dan membiarkan perkara berkenaan ditentukan oleh pihak lain.

“Saya sememangnya sentiasa melihat diri saya sebagai pemain tenis yang baik, jika tidak saya tidak akan bercakap dengan penuh keyakinan untuk terus meraih anugerah Grand Slam selepas ini.

“Namun, untuk saya dilabel sebagai pemain terbaik sepanjang zaman, saya biarkan status berkenaan ditentukan oleh orang ramai.

“Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, agak sukar untuk membandingkan pencapaian seseorang pemain tenis dari era yang berbeza kerana kami menggunakan raket yang berlainan, teknologi yang berlainan, bola serta gelanggang yang berlainan,” katanya.

Pada Ahad, Djokovic menewaskan pemain ranking kesembilan dunia, Matteo Berettini 6-7 (4/7), 6-4, 6-4, 6-3 pada aksi final Kejohanan Tenis Wimbledon 2021.

Kemenangan berkenaan sekali gus menyaksikan pemain Serbia itu mencatatkan catatan kejayaan hattrik dengan memenangi kejohanan sejak 2018, 2019 lalu (kejohanan pada 2020 dibatalkan berikutan pandemik Covid-19).

Malah Djokovic turut meletakkan namanya sebaris dengan pemain-pemain legenda seperti Roger Federer dari Switzerland serta Rafael Nadal (Sepanyol) yang turut memenangi 20 anugerah gelaran Grand Slam.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, Djokovic muncul juara Terbuka Australia pada 2008, 2011, 2012, 2013, 2015, 2016, 2019, 2020, 2021, Terbuka Perancis (2016, 2021), Terbuka Amerika Syarikat (2011, 2015, 2018) dan Kejohanan Tenis Wimbledon (2011, 2014, 2015, 2018, 2019 dan 2021).

Sementara itu Djokovic berkata dia kini sudah mula memikirkan untuk mencatatkan rekod selaku pemain yang paling banyak meraih gelaran Grand Slam.

“Saya mula memikirkan untuk mencatatkan rekod berkenaan kerana saya tahu apa yang saya mampu lakukan bagi mengharunginya.

“Saya juga yakin dapat memberikan aksi yang terbaik kelak walaupun beraksi di gelanggang berbeza seperti gelanggang tanah liat, rumput atau hard court,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!