Jualan bersih asing susut minggu lepas kepada RM324 juta

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

PENJUALAN bersih ekuiti tempatan dalam kalangan pelabur asing menyusut minggu lepas kepada RM324.0 juta berbanding pelupusan bersih RM499.3 juta pada minggu sebelumnya, demikian menurut ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim.

Menurut beliau, pelabur asing memulakan urus niaga minggu lepas agak perlahan dengan melupuskan RM25.7 juta bersih ekuiti tempatan pada hari Isnin berikutan ketiadaan pemangkin utama sementara pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) turut mengheret sentimen pelabur secara keseluruhan.

Pada Selasa, kadar penjualan bersih asing sedikit berubah dengan sejumlah RM23.0 juta dicatatkan, katanya.

"Mesyuarat Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) yang terakhir menyaksikan tiadanya kesepakatan untuk meningkatkan pengeluaran dari bulan Ogos kerana ketidakpuasan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengenai tahap pengeluaran yang mereka percaya seharusnya lebih tinggi diperuntukkan baginya," kata Adam kepada Bernama.

Adam berkata, ketiadaan kesepakatan untuk meningkatkan pengeluaran mulai Ogos akan menyebabkan kekurangan bekalan minyak dan ini boleh melonjakkan harga komoditi itu.

Pada Rabu, momentum penjualan ekuiti tempatan dalam kalangan pelabur asing telah meningkat kepada RM104.3 juta bersih, tambahnya.

"Mungkin berita menyatakan pengeluar sarung tangan getah menghentikan operasi buat sementara sepanjang PKPD mencetuskan kebimbangan beberapa pelabur akan prospek industri sarung tangan getah negara," katanya.

Namun begitu, jumlah pemberian vaksinasi harian yang memberangsangkan dicatat pada hari Selasa, 6 Julai, tidak cukup untuk meningkatkan sentimen kerana jumlah kes Covid-19 harian baharu masih tinggi melepasi paras 7,000 kes.

Artikel Berkaitan:

"Tahap aliran keluar bersih asing terus meningkat kepada RM199.5 juta bersih pada hari Khamis, paras tertinggi dalam tempoh enam hari urus niaga, katanya sambil menambah penjualan itu dipacu oleh oleh gelombang jangkitan virus baharu di Asia.

Mengenai dasar monetari pula, beliau berkata, dengan keputusan Bank Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus yang sememangnya sudah dijangkakan, kaunter perbankan lebih terkesan dengan kebimbangan pandemik berbanding tiada perubahan dalam OPR yang seharusnya menyokong sektor perbankan dari segi pemeliharaan margin pendapatan bersih.

Sementara itu, beliau menambah Indeks Tenaga Bursa Malaysia adalah yang paling rugi dalam kalangan indeks sektoral kerana harga minyak masih tertekan di tengah-tengah prospek permintaan yang lesu berikutan gelombang jangkitan terbaru di Asia.

"Urus niaga Jumaat menyaksikan pelabur asing kembali ke Bursa Malaysia dengan mencatatkan RM28.5 juta bersih ekuiti tempatan, sekali gus menamatkan kegiatan penjualan bersih asing yang berlarutan hampir tiga minggu,” jelasnya.

Begitu juga, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup lebih tinggi pada 1,520.6 selepas menyusut 1.4 peratus pada hari Khamis.

"Bagaimanapun, kebimbangan mengenai virus masih menghantui sentimen dengan jumlah kes harian terbaru mencapai 9,180 kes pada 9 Julai," katanya.

Sehubungan itu, Adam berkata kaunter sarung tangan di bawah indeks penanda aras seperti Hartalega dan Top Glove meningkat lebih tinggi, masing-masing 1.6 peratus dan 2.7 peratus dan ini menyaksikan Indeks Penjagaan Kesihatan Bursa Malaysia muncul sebagai indek paling untung dalam kalangan indeks sektor, ditutup 2.1 peratus lebih tinggi.

“Berdasar bulan ke bulan, Julai mencatat aliran keluar asing bersih bernilai RM434.8 juta di pasaran ekuiti.

"Sementara itu, sejak awal tahun hingga kini, pelabur asing telah mengeluarkan sejumlah RM4.6 bilion bersih dari Malaysia," tambahnya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!