Zii Jia lebih tangkas
KUALA LUMPUR - Pemain perseorangan nombor satu negara Lee Zii Jia, mempunyai kelebihan dari segi kekuatan dan ketangkasan sekiranya bertemu Chen Long, pada Sukan Olimpik Tokyo, bulan ini.
Legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei berpendapat, faktor umur Zii Jia, 23, yang jauh lebih muda membuatkan juara All England 2021 itu, memiliki kelebihan ke atas pemain China itu yang sudah menjangkau usia 32 tahun.
Zii Jia yang menghuni ranking kelapan dunia diramal berdepan Chen Long di pusingan kedua atau enam belas terbaik, sekiranya kedua-dua pemain berjaya melepasi peringkat kumpulan pada saingan di temasya sukan terbesar dunia itu.
Berbekalkan pengalaman dimiliki menentang Chen Long yang menewaskannya 18-21, 18-21, pada final Sukan Olimpik Rio 2016 di Brazil, Chong Wei yang juga Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik 2020, bersedia berkongsi strategi dan taktikal kepada Zii Jia, sekiranya bertemu Chen Long nanti.
Namun, Chong Wei mengakui prestasi semasa Chen Long yang merupakan pemain nombor enam dunia itu kekal ‘misteri’, selepas tidak beraksi lebih setahun pada mana-mana kejohanan antarabangsa susulan pandemik Covid-19.
“Chen Long ketika ini dibimbing bekas jurulatih saya Li Mao, dan apa yang pasti, beliau sudah semestinya sedang memantapkan kemahiran anak buahnya, menjelang aksi di Tokyo.
“Namun, saya difahamkan, Chen Long tidak bermain dengan baik pada kejohanan tempatan di China,” katanya pada sidang media dalam talian semalam.
Chong Wei sebelum itu menghadiri sesi perjumpaan secara maya bersama atlet Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo, bersama Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Rekod pertemuan antara kedua-dua pemain seimbang, selepas terikat 2-2, namun Zii Jia dilihat mempunyai sedikit kelebihan apabila menewaskan Chen Long 21-12, 21-18 pada peringkat suku akhir kejohanan badminton All England 2020 yang merupakan pertembungan terakhir mereka.
Kejohanan di Birmingham itu juga adalah aksi terakhir Chen Long di peringkat antarabangsa, sebelum dijadual membuat kemunculan semula pada Olimpik Tokyo di Musashino Forest Sport Plaza.
Chong Wei yang memenangi pingat perak Olimpik sebanyak tiga kali itu juga, mengingatkan Zii Jia agar memberi tumpuan kepada persiapan dirinya, berbanding pemain lawan bagi menghadapi cabaran di Jepun nanti.
Zii Jia diundi dalam Kumpulan M bersama-sama dua pemain Eropah, Brice Leverdez dari Perancis dan Artem Pochtarov dari Ukraine, manakala Chen Long pula bakal berdepan cabaran pemain Sepanyol Pablo Abian dan Raul Mist dari Estonia, dalam Kumpulan N. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!