Tiga lagi anggota polis direman bantu siasatan kes minta rasuah
KOTA BHARU - Tiga lagi anggota polis direman Isnin hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes seorang pegawai kanan polis yang didakwa meminta suapan sebanyak RM200,000 daripada pasangan pengedar dadah.
Tiga anggota berpangkat sarjan, koperal dan lans koperal berumur lingkungan 30-an hingga 40-an itu direman selama empat hari hingga Khamis ini selepas Pendaftar Mahkamah Majistret Kota Bharu Nor Faezah Abdullah mengeluarkan perintah itu di Mahkamah Majistret 4, di sini pada Isnin.
Perintah tahanan reman itu dibuat di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
ARTIKEL BERKAITAN: 2 pegawai kanan direman, polis Kelantan beri kerjasama kepada SPRM
Menurut sumber SPRM, ketiga-tiga anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas ditahan di pejabat SPRM selepas memberi keterangan, petang semalam.
Pengarah SPRM Kelantan, Rosli Husain mengesahkan penahanan ketiga-tiga anggota polis itu.
Di mahkamah yang sama, Nor Faezah turut mengeluarkan perintah lanjutan reman ke atas seorang pegawai kanan berpangkat Asisten Superintendan (ASP) yang berakhir pada Isnin, selama empat hari lagi hingga Khamis.
Pada Jumaat dan Sabtu lepas, Bernama melaporkan dua pegawai kanan masing-masing berpangkat ASP dan DSP, kedua-dua berumur 48 tahun telah direman berhubung kes tersebut.
Pengawai kanan berpangkat ASP itu didakwa meminta suapan sebanyak RM200,000 daripada pasangan pengedar dadah berkenaan manakala pegawai berpangkat DSP direman bagi membantu siasatan kes yang sama. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!