Allahyarham Benjy selamat dikebumikan di Medan
SHAH ALAM - Jenazah pelakon, Allahyarham Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy, 43, selamat dikebumikan di Pemakaman Waqaf Pasar 4 Klambir Lima Kampung, Medan, Indonesia, pada jam 11.45 pagi Isnin.
Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Hafiz Nafiah berkata, semua pengurusan jenazah Benjy diuruskan oleh pihak Penjara Tanjung Gusta dan Konsulat General Malaysia di Medan.
Beliau turut memberitahu sempat menyaksikan proses pengkebumian Benjy dalam siaran langsung video bersama keluarga dan anak Benjy sebentar tadi dari tanah perkuburan di Medan.
"Alhamdulillah semua urusan dipermudahkan oleh Allah untuk Benjy pulang ke negara abadi.
"Andai ada kesilapan yang pernah arwah lakukan saya memohon semua pihak untuk memaafkan beliau dunia dan akhirat.
"Sesungguhnya Benjy adalah seorang manusia yang sangat kuat dan hebat untuk lalui segalanya dengan sendiri sehingga hujung nyawa," katanya melalui status Instagramnya pada Isnin.
Pada Ahad, pemergian Benjy mengejutkan peminat apabila menghembuskan nafas terakhir pada jam 11 pagi di sebuah hospital di Medan, Indonesia akibat asma.
Menurut kenyataan keluarga Benjy, pihaknya telah menerima panggilan daripada penjara Medan memberitahu Benjy tidak dapat bernafas akibat asma lebih kurang jam 11 pagi dan telah dibawa ke hospital tetapi tidak sempat diselamatkan.
ARTIKE BERKAITAN: Benjy meninggal dunia akibat asma
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!