Israel mahu kuasai al-Aqsa
TINDAKAN rejim Zionis mengunci Bab al-Rahma sebelum ia berjaya dibuka semula pada Jumaat lalu sebenarnya bertujuan untuk menguasai bahagian timur Haram al-Sharif yang menempatkan Masjid al-Aqsa.
Israel mahu merealisasikan rancangan mereka untuk membina rumah ibadah Yahudi di kawasan tersebut dan mereka juga menggunakan kunci berbeza pada pintu bangunan tersebut.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan al-Quds Malaysia, Dr Sharif Abu Shammalah, rejim Tel Aviv menukar kunci Bab al-Rahma kepada kunci buatan Israel dan ia telah mencetuskan kemarahan penduduk Palestin.
"Pada 17 Februari lalu, Tel Aviv telah mengunci Bab al-Rahma. Penduduk Islam di al-Aqsa dan Baitulmaqdis bertindak memecahkan kunci tersebut yang bertujuan untuk menghalang golongan tersebut daripada menggunakan bangunan tersebut. Akhirnya kunci itu berjaya dipecahkan dan bangunan itu digunakan sebagai surau.
"Ia adalah hak penduduk Palestin dan merupakan sebahagian daripada al-Aqsa yang bukan hanya Masjid Qibli, namun meliputi seluruh kawasan Haram al-Sharif," ujarnya.
Difahamkan, Israel merancang menguasai kawasan timur masjid yang menjadi kiblat pertama orang Islam itu di bawah rancangan jahat untuk merobohkan al-Aqsa secara berperingkat.
Ketika ini, kawasan timur Haram al-Sharif itu kosong dan umat Islam tidak dibenarkan menggunakan kawasan itu untuk sebarang pembangunan.
"Langkah pertama mereka adalah mengawal pintu itu yang memberi peluang kepada mereka untuk menguasai keseluruhan kawasan tersebut. Tetapi, umat Islam di Baitulmaqdis mengetahui rancangan jahat Israel itu. Ia bukan lagi rahsia. Pada setiap hari, kumpulan pelampau Yahudi menguar-uarkan tentang pelan untuk merobohkan al-Aqsa dan membina rumah ibadah Yahudi di atas tapaknya.
Selain itu, fasa awal rancangan Israel adalah untuk melaksanakan pembahagian kawasan dalam al-Aqsa.
Sebelum ini, rejim Zionis telah melakukan pembahagian waktu antara umat Islam dan Yahudi sebagai cara untuk menguasai kompleks Haram al-Sharif tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!