Strategi Rahman Dahlan undang kemarahan rakyat: Penganalisis
SHAH ALAM - Strategi Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan supaya UMNO mengambil kesempatan terhadap situasi Covid-19 untuk menduduki kerusi Perdana Menteri akan mengundang kemarahan rakyat.
Penganalisis politik berpendapat, sekiranya benar dakwaan Abdul Rahman yang disifatkan sebagai 'tamak haloba' itu, ia akan menyebabkan rakyat bosan dengan pimpinan UMNO.
Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Kartini Aboo Talib @ Khalid berkata, rakyat sudah jelak dengan sikap pemimpin berebut kuasa ketika negara sedang bertungkus lumus mendepani pandemik Covid-19 yang masih belum reda.
Beliau berkata, sekiranya dakwaan bekas Ahli Parlimen Kota Belud itu sahih, trend perebutan kuasa dicadangkan beliau ketika mesyuarat MKT UMNO pada minggu lalu tidak ada bezanya dengan agenda populis pihak pembangkang.
"Video suara rakaman salah seorang ahli MKT yang tular baru-baru ini jelas menunjukkan pemimpin itu memegang doktrin Aristotle iaitu 'man is a political animal'.
"Pada saat genting krisis Covid-19 ketika ini, UMNO mungkin melihat inilah masa strategik untuk mereka meraih kuasa. Namun dari sudut kaca mata rakyat, tindakan itu merugikan mereka.
"Trend ini tidak ada bezanya dengan agenda populis pembangkang dan UMNO harus kembali kepada saf perjuangan bangsa dan agama sekiranya mahu kekal relevan pada masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, tular audio suara percakapan Abdul Rahman dalam mesyuarat MKT UMNO secara maya pada Rabu lalu yang mencadangkan agar parti itu mengambil alih segera jawatan Perdana Menteri ketika kes Covid-19 sedang memuncak.
Ketua UMNO bahagian Kota Belud itu turut berpendapat, kejayaan yang mungkin dicapai kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam membendung kes Covid-19 tidak lama lagi akan merugikan UMNO kerana pujian akan ditujukan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bagaimanapun, Abdul Rahman dalam satu kenyataan balas menafikan rakaman audio tular itu adalah suaranya, malah menegaskan keputusan UMNO menarik sokongan daripada kerajaan PN selari dengan kehendak rakyat.
Beliau selepas itu dicabar Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk membuat laporan polis bagi menafikan kandungan audio tersebut.
Sementara itu, Kartini turut berpandangan bahawa sudah tiba masanya UMNO memberi laluan secara organik kepada barisan kepimpinan muda parti itu untuk menggantikan segelintir ahli MKT yang sudah 'semakin berkarat' dan lupa diri.
"Krisis Covid-19 sebenarnya menguji karakter dan ketahanan pemimpin UMNO yang ditubuhkan sejak tahun 1946 sebagai parti perjuangan bangsa.
"Jika pemimpinnya lupa diri, maka pandemik Covid-19 mungkin menjadi 'kubur tidak bertanda' kepada mana-mana pemimpin politik yang tamak dan tidak mengutamakan rakyat," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!