Mekanik terlepas hukuman gantung

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang mekanik terlepas hukuman gantung apabila dipenjara 11 tahun dan 13 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin atas dua kesalahan memiliki 68.03 gram dan 6.83 gram dadah jenis metamphetamine pada Februari tahun lalu.

Hakim Datuk Roslan Abu Bakar menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Wan Mohd Shahlan Wan Mahmood, 30, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang dikemukakan.

Tertuduh kedua, iaitu isterinya, Nik Afiqah Rasyiqah Che Mat Roni, 24, pula dilepas dan dibebaskan.

Roslan sebelum menjatuhkan hukuman menasihati tertuduh supaya mengambil pengajaran daripada kes tersebut.

“Kamu sepatutnya bersyukur kerana pihak pendakwaan menawarkan tuduhan pilihan berbanding tuduhan asal mengikut Seksyen 39B yang memperuntukkan hukuman mati,” katanya.

Mengikut pertuduhan pilihan pertama, Wan Mohd Shahlan didakwa memiliki 68.03 gram dadah jenis metamphetamine di sebuah rumah di Kampung Lubok Jong, Pasir Mas, pada jam 9 malam, 26 Februari tahun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau sekurang-kurangnya lima tahun penjara dan 10 sebatan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh dihukum penjara 11 tahun dan 10 sebatan.

Artikel Berkaitan:

Pada pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39A(1) akta yang sama kerana memiliki 6.83 gram dadah jenis sama, pada masa, tarikh dan di lokasi yang sama.

Bagi kesalahan kedua itu, tertuduh dihukum penjara dua tahun dan tiga sebatan.

Mahkamah mengarahkan hukuman penjara dijalankan serentak dari tarikh tertuduh ditahan pada 26 Februari 2020 menjadikan keseluruhan hukuman adalah 11 tahun penjara dan 13 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norazlinawati Mohd Arshad manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohd Rohaimi Syafiq Mohd Rusdi sementara isteri tertuduh diwakili peguam bela, Muhammad Hasif Hasan.

Mohd Rohaimi mewakili anak guamnya merayu supaya hukuman diringankan kerana tertuduh hanya bekerja sebagai mekanik.

“Tertuduh perlu menyara isteri dan dua anak. Ketika ditahan, isterinya itu bersalin di penjara.

“Anak-anak kini dijaga oleh keluarga dan tertuduh menginsafi kesalahannya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!