IPT perlu beri perhatian terhadap kesihatan mental pelajar

Keratan Sinar Harian berkaitan pelajar Universiti Teknologi Mara Jengka yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada malam Sabtu, mengadu sakit kepala.
Keratan Sinar Harian berkaitan pelajar Universiti Teknologi Mara Jengka yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada malam Sabtu, mengadu sakit kepala.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) meminta supaya tempoh pembelajaran pelajar di institut pengajian tinggi (IPT) dipanjangkan daripada 14 minggu kepada 15 atau 16 minggu pada semester akan datang sekiranya pembelajaran dan pengajaran masih perlu dijalankan secara dalam talian.

Presidennya, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu mengarahkan semua IPT memanjangkan tempoh berkenaan, selain mengkaji semula kaedah pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian susulan kebimbangan pelajar terhadap kesihatan mental mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: UiTM prihatin isu kematian dua pelajar

'Arwah merangkak ke bilik mengadu sakit kepala'

Beliau memohon KPT dan IPT supaya memberi perhatian dan menitik berat kesihatan mental para pelajar kerana sudah lebih setahun mereka menghadapi tekanan dalam mengharungi sesi pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian.

“MPPK juga berharap agar IPT yang memberi tempoh bertenang dapat memastikan tempoh itu benar-benar merupakan tempoh bertenang dan perlu memastikan tiada pensyarah yang masih meminta pelajarnya menghantar tugasan atau mengadakan peperiksaan dalam tempoh berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sementara itu MPPK mengucapkan takziah kepada keluarga dua pelajar masing-masing dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kedah dan UiTM Pahang yang meninggal dunia baru-baru ini.

Jabatan Komunikasi Korporat UiTM dalam kenyataan pada Ahad menyebut pihak pengurusan UiTM amat prihatin terhadap isu kematian Nurul Natasya Ezreen Azemi, 22, pelajar Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Cawangan Kedah serta Muhammad Adham Hazim Mohd Rizaini, 21, pelajar Diploma Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Awam, Cawangan Pahang. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!