Elak terpedaya promosi iklan ah long

Noorzainy (empat, kiri) menurunkan salah satu poster ah long yang dilekatkan di pokok.
Noorzainy (empat, kiri) menurunkan salah satu poster ah long yang dilekatkan di pokok.
A
A
A

BUTTERWORTH - Orang ramai diingatkan supaya tidak terpedaya dengan promosi diberi ceti haram atau ah long kononnya menawarkan pinjaman lulus segera dan kadar faedah rendah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Nor berkata, tawaran itu hanya sekadar mahu menarik minat peminjam sebaliknya mereka akan dikenakan pelbagai syarat yang mungkin boleh menjerat diri.

Menurutnya, ada dalam kalangan ah long yang menawarkan faedah pinjaman serendah satu peratus malah ada yang kononnya boleh memberi kelulusan pinjaman tidak sampai 24 jam.

"Pelbagai promosi yang akan digunakan mereka untuk menarik minat peminjam dan ada dalam kalangan ah long yang akan membuat tawaran melalui panggilan telefon dan menghantar mesej melalui sistem pesanan ringkas (SMS).

"Apabila peminjam bersetuju, pelbagai helah dan syarat pula yang akan dikenakan terhadap mereka seperti perlu menyerahkan kad bank dan ada juga yang perlu membayar wang proses sebelum pinjaman diluluskan," katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Op Banner yang diadakan di sini petang semalam.

Dalam Op yang diadakan bermula jam 9 pagi hingga 12.30 tengah hari itu, sebanyak 300 poster iklan pinjaman tidak berlesen diturunkan polis dengan kerjasama Bahagian Siasatan Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Tambahnya, sepanjang tahun lalu seramai 11 ah long berjaya ditahan polis kerana menjalankan kegiatan haram ini.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!