Kejadian pegawai imigresen didakwa cuba merompak tidak benar
KUALA LUMPUR - Kejadian pegawai imigresen yang didakwa cuba melakukan rompakan seperti yang tular di aplikasi WhatsApp baru-baru ini adalah tidak benar, menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak.
Beliau berkata, sebaliknya pegawai berkenaan sedang menjalankan siasatan rasmi ke atas seorang individu di sebuah rumah di Pandan Indah, Ampang di sini.
“Hasil siasatan mendapati pegawai Imigresen terbabit turut memperkenalkan diri dan memberitahu tentang tujuan kehadiran ke rumah itu,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, dalam pemeriksaan itu, gambar pegawai imigresen berkenaan telah disebar dan ditularkan berserta dengan kenyataan berunsur fitnah dan cuba merosakkan nama baik pegawai terbabit.
Pada Ahad, tular di aplikasi media sosial berhubung kegiatan individu hadir rumah ke rumah kononnya bagi mengesahkan setiap orang mempunyai kad pengenalan sah untuk terlibat dalam pilihan raya akan datang dan cuba melakukan rompakan.
Mohamad Farouk turut mengesahkan pihaknya menerima laporan polis daripada seorang lelaki tempatan berusia 60 tahun, yang merupakan tuan rumah semasa pemeriksaan dilakukan pegawai imigresen terbabit. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!